Elak pelaku keganasan rumah tangga tidak terus bebas


Elak pelaku keganasan rumah tangga tidak terus bebas
March 4, 2025

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Isu penarikan semula laporan keganasan rumah tangga perlu ditangani secara menyeluruh, kata Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).

Ini, ujarnya bagi memastikan pelaku tidak terus terlepas daripada hukuman dan mangsa mendapat perlindungan sewajarnya.

Tambahnya, banyak kes yang hampir selesai disiasat akhirnya digugurkan apabila mangsa menarik semula laporan mereka.

“Apakah langkah kerajaan untuk memastikan pelaku tidak terus bebas dan mengulangi keganasan?

“Bagaimana kerajaan menangani kelemahan penguatkuasaan, khususnya kelewatan dalam memberikan perlindungan kepada mangsa yang melaporkan penderaan?” soalnya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kementerian sedar akan isu tersebut dan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menanganinya.

“Di bawah kementerian, terdapat satu jawatankuasa menangani keganasan rumah tangga, termasuk jawatankuasa kerja bagi pemantauan, advokasi, dan pembangunan kapasiti dalam isu ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

Ulasan