Lelaki lagak wanita bernilai komersial?
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
28 Februari 2025, 7:07 am
TINDAKAN Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memanggil individu berpakaian menyerupai wanita dalam acara hiburan baru-baru ini memang wajar untuk tidak membiarkan ia menjadi norma sosial yang diterima dalam kalangan masyarakat.
Fenomena lelaki berpakaian menyerupai wanita ini bukan baharu, bezanya dulu ia dilakukan secara sorok-sorok, tetapi kini lebih berani, keterlaluan dan daring, mengalahkan wanita tulen.
Dua tahun lalu, sebuah pertunjukan fesyen di Kedah saya hadiri, juga tular apabila tetamu wanita jadian ini, berpakaian secara mencolok mata. Walaupun pada awalnya mendapat kecaman dan pihak penganjur meminta maaf, ia senyap begitu sahaja.
Permohonan maaf ringan diungkapkan namun namun ia meninggalkan parut dalam hati kita yang tidak pernahpun menghalalkan ia daripada berlaku, apatah lagi sekiranya pelakunya lelaki muslim.
Hari ini, lelaki meniru gaya dan aksi wanita untuk tujuan komersial di media sosial telah menjadi suatu perkara yang normal.
Saya katakan normal sebab bukan setakat yang menonton memberikan pujian, tetapi turut membeli produk yang dijual oleh lelaki jadian ini, jika benar menolak, kenapa sokong? Janganlah beli.
Ada yang tidak segan silu menyolek wajah mereka untuk mempromosikan produk solekan seperti gincu dan maskara.
Walaupun ada yang mengecam, lelaki-lelaki ini semakin galak apabila jualan mereka semakin laris, dan pujian ‘cantik’ serta ‘jelita’ daripada khalayak menjadi dorongan untuk mereka meneruskan perilaku tersebut.
Memang ada lelaki jadian saya temui mengaku gaya itu hanya kaedah cari makan atau kerja malam sebab siang bertukar kepada lelaki, tetapi cara berkenaan tetap salah menyalahi norma manusia.
Realitinya menggunakan imej wanita sebagai pelaris jualan adalah satu bentuk eksploitasi, lebih-lebih lagi jika ‘aset buatan’ dijadikan modal perniagaan kepada khalayak. Peliknya, patform hiburan seperti TikTok yang kuat menyekat itu dan ini hingga menggusarkan media tempatan menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum, ia tidak pula menyekat aktiviti sumbang lelaki menyerupai wanita. Aduhai.
Kala kebebasan memberi ruang kepada luahan kreativiti, pada sudut yang lain ia menimbulkan kebimbangan apabila lelaki berperwatakan wanita atau meniru gaya wanita ini secara perlahan-lahan menguasai minda masyarakat untuk menerima gaya itu sebagai normal dan biasa.
Negara kita yang begitu lantang membenci LGBT, sedari awal patut hapuskan bunga-bunga aliran songsang ini.
Saya kira agensi berkaitan usah lagi menunggu aduan daripada orang ramai baru bertindak sebaliknya kalau sudah tahu, terus sahaja memberikan nasihat, amaran atau denda sebab lelaki menyerupai wanita ini tidak akan habis. Pihak berwajib dan agensi serta jabatan berkaitan, perlu agresif bertindak.
Bukti sudah terang di media sosial, tidak perlu lagi tunggu orang awam hantar aduan. Lagipun masing-masing ada media sosial, takkanlah tak tahu dan mustahil hanya follow media sosial majikan tetapi pejam mata terhadap realiti yang berlaku.
Nor Afzan Mohamad Yusof ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Ulasan
Catat Ulasan