PAS Selangor usaha tingkat jumlah pengundi Melayu



PAS Selangor usaha tingkat jumlah pengundi Melayu
March 20, 2025

SHAH ALAM: PAS Selangor komited untuk menggerakkan usaha meningkatkan jumlah pengundi Melayu di negeri ini bagi memastikan keseimbangan demografi politik yang lebih adil dan saksama.

Timbalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono berkata, rakyat Selangor yang telah lama bermastautin, membayar cukai, bekerja, serta menikmati perkhidmatan kerajaan negeri perlu diberikan ruang dan suara yang jelas dalam menentukan masa depan negeri ini.

“Dalam beberapa kawasan Dewan Negeri dan Parlimen di Selangor, terdapat jurang ketara antara jumlah pengundi Melayu dan bukan Melayu.

“Situasi ini memerlukan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai pengundi Melayu yang telah lama bermastautin di Selangor untuk mendaftar sebagai pemilih dan memastikan mereka menunaikan tanggungjawab ketika pilihan raya akan datang.

“PAS Selangor bertekad akan menggerakkan satu agenda besar bagi meningkatkan kesedaran rakyat Selangor terhadap kepentingan mendaftar sebagai pemilih di tempat mereka bekerja dan membeli rumah agar hak demokratik rakyat Selangor dilindungi dan dihormati.

“PAS Selangor yakin bahawa usaha ini penting untuk memastikan pembangunan negeri yang sifatnya seperti ‘Mini Malaysia’ ini terus dipacu dengan dasar yang adil, berintegriti, dan memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor dalam erti kata yang lebih hakiki,” katanya dalam kenyataan. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

Ulasan