Anjing liar: Kedah lebih utamakan keselamatan manusia


Anjing liar: Kedah lebih utamakan keselamatan manusia
April 23, 2025

Mejar (B) Mansor Zakaria

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria, menegaskan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih memberi keutamaan kepada keselamatan orang ramai dalam menangani masalah anjing liar yang dikatakan sering mengganggu penduduk khususnya di Langkawi.

Jelasnya, walaupun ada pihak yang mempertahankan isu anjing liar ini, namun sebagai Exco Kerajaan Negeri, beliau lebih mementingkan keselamatan manusia berbanding haiwan berkenaan.

“Setiap PBT perlu melaksanakan arahan yang termaktub di dalam undang-undang kecil, selain akan menjalankan rondaan apabila menerima aduan di tempat yang terdapat gangguan anjing liar ini.

“Saya difahamkan, anjing-anjing liar di Langkawi ini, dahulunya diberi makan oleh individu tertentu tetapi apabila tidak lagi menjadi perhatian individu berkenaan, haiwan ini akan menyerang orang ramai yang lalu lalang kerana mencari makanan.

“Perkara ini secara tidak langsung memberi permasalahan kepada pelancong yang datang ke Langkawi,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, semalam.

Terdahulu, Amar Fared Mahamud (PN- Kuah) membangkitkan isu anjing liar di Langkawi dan inginkan penjelasan apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi menangani isu serangan anjing liar itu untuk memastikan keselamatan penduduk serta pelancong.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan agar anjing-anjing liar ini dilupuskan dengan kaedah put to sleep atau eutanasia kerana anjing bukan kategori haiwan yang pupus ketika ini.

Mansor menjelaskan, kaedah trap, neuter, release (TNR) dengan kerjasama pertubuhan NGO juga dilakukan bagi mengurangkan populasi anjing liar tersebut dan menjalankan operasi bersepadu tangkapan anjing liar bersama Pejabat Veterinar.

Dalam masa yang sama, ADUN Kuala Ketil itu juga memaklumkan pihaknya juga menjalankan kempen pelesenan anjing atau rumah pembiakan anjing, termasuk suntikan vaksin rabies dengan kerjasama Pejabat Veterinar dan wakil penduduk setempat.

“Operasi dan kawalan anjing liar ini dijalankan secara berjadual terutamanya di kawasan ‘hotspot’ dengan kerjasama Jabatan Veterinar serta tertakluk kepada peruntukan semasa.

“Kaedah kawalan turut dipertingkatkan dari masa ke semasa agar pelaksanaan lebih efisyen dan tidak menimbulkan isu sensitiviti di kalangan orang awam seperti penganiayaan haiwan,” tambah beliau.

Selain itu, PBT juga kata komited menjalankan langkah-langkah bagi menangani isu serangan anjing liar ini dengan menjalankan program pemandulan anjing liar secara berperingkat bersama pihak NGO dan klinik haiwan swasta di Langkawi.

Ini, ujarnya termasuk menjalankan persampelan penyakit rabies terhadap anjing liar serta kajian populasi anjing sebagai ‘way forward’ bagi tujuan pengawalan populasi anjing terbiar dan mengadakan kempen kesedaran serta kebajikan haiwan kepada orang awam.

“Walau bagaimanapun kaedah TNR yang dilakukan di Langkawi dilihat tidak mendatang impak yang besar untuk mengurangkan populasi anjing kerana ia memerlukan dana yang besar untuk membuat proses pemandulan. Kaedah TNR juga mengambil masa yang agak lama untuk keberhasilannya.

“Menurut SOP pengurusan anjing terbiar yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan kaedah put to sleep (PTS) dilakukan kepada anjing yang tidak bertuan atau yang tidak dituntut dalam tempoh dua hari.

Untuk itu, jelasnya, kerajaan negeri juga telah menyediakan dua ‘animal shelter’ atau perlindungan haiwan di Kampung Dato’ Syed Ahmad, Pendang dan Pusat Pengurusan Anjing Liar Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), di Kampung Belanga Pecah, Langkawi. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Ulasan