KHIDMAT MALAYSIA TINJAU KESAN KEBAKARAN DI KAMPUNG KUALA SUNGAI BARU




KHIDMAT MALAYSIA TINJAU KESAN KEBAKARAN DI KAMPUNG KUALA SUNGAI BARU

PUCHONG, 5 April 2025 – Khidmat Malaysia telah mengadakan kunjungan ke Kampung Kuala Sungai Baru, kawasan yang terletak bersebelahan lokasi kebakaran di Putra Heights, bagi menilai sendiri kesan dan kerosakan akibat insiden tersebut.

Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi Khidmat Malaysia, YB. Datuk Dr Ustaz Marzuk Shaary bersama Ketua Pengarah, Khairul Faizi Ahmad Kamil serta Setiausaha, Mohd Ashraul Fauzan Hisyam Abdul Jalil. Turut serta dalam delegasi ini ialah Penasihat Khidmat Malaysia Kawasan Puchong, Ustaz Rashidi Yusuf, serta barisan petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia.

Kampung Kuala Sungai Baru dikenal pasti sebagai antara kawasan yang paling terjejas dengan insiden kebakaran tersebut. Selain kerosakan struktur kediaman seperti bumbung rumah yang rosak, terdapat juga mangsa yang mengalami kecederaan akibat bahang panas. Beberapa kenderaan turut mengalami kerosakan termasuk cermin dan bumbung yang pecah serta meleding.

Kesan haba kebakaran juga dapat dilihat pada tumbuhan sekitar, dengan pokok-pokok dalam radius satu kilometer dari lokasi kejadian menunjukkan tanda-tanda kerosakan dan kemusnahan.

Delegasi Khidmat Malaysia seterusnya melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Camelia, yang kini menempatkan mangsa kebakaran. Di sana, mereka menerima taklimat daripada pegawai bertugas mengenai keadaan semasa dan keperluan mangsa. Rombongan juga telah diberikan untuk menziarahi mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut.

Terdahulu, rombongan Khidmat Malaysia Pusat menerima taklimat awal di Bilik Operasi (BO) Khidmat Malaysia yang beroperasi di PASTI Salman Al-Farisi, Kampung Tengah, Puchong. BO ini telah diaktifkan sejurus selepas kejadian pada Hari Raya Kedua dan terus berfungsi sebagai pusat koordinasi bantuan.

Pada masa ini, Khidmat Malaysia terus menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran dan turut memberi tumpuan kepada fasa relief bagi mangsa di sekitar kawasan terjejas.

BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN .. BERAMAL KERANA ALLAH

Ulasan