Wakil rakyat PN Pahang gesa tubuh RCI dan audit forensik


Wakil rakyat PN Pahang gesa tubuh RCI dan audit forensik
April 23, 2025

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN: Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) Pahang di Dewan Negeri Pahang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan pelaksanaan audit forensik bagi menyiasat isu pencerobohan hutan simpan kekal di negeri ini secara menyeluruh.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini turun padang melakukan tinjauan udara ke kawasan yang diceroboh, namun dengan penubunan RCI akan menjadikan siasatan lebih telus dan dilihat lebih bebas.

“Ini penting kerana ia tentu akan dapat menyiasat sehingga ke punca awal bagaimana ia berlaku sehinggakan memungkinkan ribuan ekar tanah kerajaan di cerobohi selama lebih 40 tahun”.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada tindakan yang dibuat sekarang, di samping audit forensik yang lebih lengkap untuk kita mengetahui berapa keluasan tanah kerajaan, tanah hutan simpan kekal yang telah diceroboh,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, isu pencerobohan hutandi Raub dan Sungai Lembing tidak boleh disamakan.

“Saya tegaskan dalam sidang Dewan Negeri Pahang bahawa isu pencerobohan tanah di Raub tidak boleh disamakan dengan situasi di Sungai Lembing.

Katanya, penduduk di Sungai Lembing menetap di kawasan itu sejak era 1800-an semasa aktiviti perlombongan dan sudah berdekad lama menjadikan kawasan itu tempat tinggal dan sumber kehidupan.

Menurutnya, ini berbeza dengan penceroboh di Raub yang menjalankan kegiatan berskala besar untuk keuntungan komersial.

“Bayangkan, penduduk yang sudah beranak cucu tiba-tiba menerima notis untuk membayar sewa tanah. Ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah tidak adil.

“Saya menggesa agar kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian hak milik kepada penduduk Sungai Lembing. Jangan sampai generasi yang dahulunya menyumbang tenaga ketika muda kini dibiarkan terabai ketika tua. Hal seperti ini juga berlaku kepada pekerja-pekerja di kawasan estet, terutamanya dalam kalangan masyarakat India. Keadilan mesti ditegakkan, dan sejarah komuniti tempatan wajar dihormati,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

Ulasan