Bangunkan tanah diceroboh elak kejadian berulang


Bangunkan tanah diceroboh elak kejadian berulang

Jangan satu hari nanti ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan
May 4, 2025

KUANTAN: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pencerobohan tanah-tanah haram di negeri ini, terutama melibatkan kawasan hutan simpan kekal.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, isu penebangan kira-kira 200 batang pokok yang tular baru-baru ini hanyalah cebisan kecil, sedangkan beribu ekar tanah didapati telah diceroboh di daerah seperti Bentong, Bera, Pekan, Lipis, Jerantut, Maran dan Temerloh.

“Kita menentang pencerobohan tanah-tanah haram di Pahang. Dalam Dewan Negeri saya, rakan-rakan mencadangkan supaya kerajaan tubuh RCI. Jangan terpengaruh dengan 200 batang pokok ditebang itu. Tak ada apa 200 ni. Cebisan saja. Beribu ekar lain?” ujarnya.

Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian dalam Himpunan Penyatuan Ummah Pahang & Solidariti Palestin di Padang Cenderawasih, di sini malam tadi.

Beliau menegaskan perlunya siasatan penuh dibuat terhadap keluasan sebenar tanah yang telah diteroka dan siapa pelabur-pelabur yang terlibat, termasuk kemungkinan pemilikan oleh warga asing melalui pegangan saham.

“Walaupun kita setuju dengan Tuanku, yang dah lepas itu lepaslah. Nak buat apa, tapi ke depan kita kena kawal. Kita setuju, bukan tak setuju tindakan serang, tindakan tebang, rampas balik.

“Kalau kerajaan sekadar pergi tebang kemudian tinggal, mereka akan buat semula. Sebab itu kita cadang tanah ini kerajaan bangunkan, beri kepada bekas-bekas anggota tentera, buat FELDA, buat Rancangan Tanah Pemuda (RTP),” jelasnya.

Menurut ADUN Cheka itu, tanpa pelan tindakan jangka panjang, kawasan yang telah dirampas itu akan terus dimajukan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus merugikan rakyat dan negara.

Tuan Ibrahim turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penguat kuasa dan pasukan keselamatan yang berdepan ancaman ketika menjalankan tugas, termasuk sekatan fizikal seperti jambatan dirobohkan bagi menghalang kemasukan pihak berkuasa.

“Perlu ada data lengkap dibentangkan – banyak mana tanah-tanah kita dah habis? Siapa tuan punya pelabur ni? Jangan terkejut. Mungkin bukan rakyat Malaysia. Mungkin warga asing, mungkin pihak luar,” terangnya.

Beliau mencadangkan agar projek penanaman durian Musang King dikendalikan secara rasmi oleh agensi kerajaan negeri seperti Tabung Haji, RISDA, FELCRA dan Lembaga Kemajuan Pertanian (LKP), bukannya diserah kepada pihak luar.

“Kita banyak anak-anak syarikat kerajaan negeri yang boleh usahakan tanam projek Musang King bawah agensi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim turut mengaitkan isu penjualan tanah dengan tragedi sejarah yang menimpa rakyat Palestin, apabila ulama pada tahun 1960-an yang mengeluarkan fatwa haram menjual tanah kepada Yahudi ditangkap, dipecat dan dipenjarakan.

“Apa yang berlaku hari ini menyaksikan betapa pandangan para ulama tahun 60-an itu betul. Jangan satu hari nanti ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.

“Apa maknanya? Kita hilang nama Tanah Melayu. Dulu bumi ini namanya Tanah Melayu. Sekarang yang mana tanah Melayu ada? Tinggal satu je – kereta api Tanah Melayu. Baju-baju Melayu pun daripada butang lima dah tinggal butang tiga,” sinisnya.

Beliau turut membidas sikap segelintir Melayu yang sanggup menggadai Tanah Rizab Melayu dengan menggunakan nama mereka, sedangkan pemilik sebenar adalah bukan Melayu.

“Nama aje rizab Melayu, ada barua Melayu yang sanggup guna nama dia bagi orang lain bangunkan tanah dia. Mana Pak Mat ni ada duit sampai juta-juta? Maknanya ada orang Melayu sanggup gadai tanah Melayu guna nama dia,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya siasatan turut dijalankan terhadap kes-kes seumpama yang turut berlaku di Perak. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

Ulasan