KUDA LIAR BIASANYA DIJINAKKAN OLEH TUANNYA



KUDA LIAR BIASANYA DIJINAKKAN OLEH TUANNYA

Dengan penuh bangga, Setiausaha Agung Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub menyatakan bahawa apabila UMNO dan DAP menjalinkan kerjasama politik ketika ini; DAP telah berjaya ‘dijinakkan’ berbanding ketika kerjasama PAS dengan DAP dahulu.

Kenyataan bahawa "DAP adalah ‘kuda liar’ yang berjaya dijinakkan oleh UMNO" adalah satu metafora politik yang sarat dengan andaian, sindiran dan simbolik kuasa. Jika kita mentafsirkan kenyataan ini secara mendalam, ia boleh membawa kepada beberapa implikasi penting:

Pertamanya, sudah tentulah ia adalah sindiran terhadap PAS yang menjadi subjek utama dalam kenyataan yang diberikan. UMNO mahu menyindir PAS yang sebelum ini bersekutu dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tetapi hubungan itu berakhir dengan ketegangan dan perpisahan. Kini, UMNO pula yang berjaya bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, memberi gambaran bahawa mereka lebih “berjaya” mengawal atau mempengaruhi DAP.

Keduanya adalah tanggapan bahawa DAP adalah ‘kuda liar’ yang merujuk kepada DAP yang selama ini dilihat lantang, tegas dan membawa agenda sendiri, manakala “penjinak” ialah UMNO yang kini mendakwa berjaya “menjinakkan” DAP. Ini boleh menggambar bahawa UMNO ingin dilihat sebagai pihak dominan dalam kerjasama ini. Pada padangan saya, gambaran menjinakkan ‘kuda liar’ adalah satu kiasan yang tidak sesuai rakan kerjasama politik melainkan DAP memang bersetuju mereka adalah ‘kuda liar’.

Ketiganya, ada juga pandangan bahawa DAP kini lebih pragmatik dan sederhana dalam pendekatannya, sejajar dengan keperluan bekerjasama dalam kerajaan campuran. DAP dilihat tidak setegas seperti dulu. DAP sebenarnya mahu menyesuaikan strategi politik dalam suasana semasa. Namun begitu, UMNO menganggap bahawa merekalah yang berjaya menjinakkan DAP.

Mungkin DAP selesa atau pun mungkin sebaliknya dengan kenyataan bahawa mereka adalah ‘kuda liar’ dan telah berjaya dijinakkan oleh UMNO tetapi seingat saya sepanjang PAS bekerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, PAS tidak pernah melihat bahawa DAP adalah seperti ‘kuda liar’

KFAK

Ulasan