
KUALA LUMPUR: Isu pemilihan PKR terus bergolak apabila bekas ahli Parlimen dari PKR mengemukakan aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi membatalkan keputusan pemilihan yang didakwa penuh kontroversi.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, aduan telah dibuat secara rasmi pada 29 Mei lalu, membuktikan bahawa terdapat ahli yang benar-benar hilang kepercayaan terhadap proses pemilihan dalam PKR.
“Isu pemilihan PKR nampaknya masih belum reda sehingga kini. Bekas Ahli Parlimen Lumut, Mohd Imran Abd Hamid, minta ROS campur tangan untuk membatalkan keputusan PKR yang penuh dengan kontroversi.
“Aduan kepada ROS telah dibuat oleh beliau pada 29 Mei yang lalu, maknanya bukan ‘cakap-cakap kosong’ sahaja, aduan telah dibuat secara rasmi.
“Silap-silap, jika masih tidak puas hati ada yang akan bawa isu ke mahkamah pula. Teringat satu masa dahulu isu pemilihan Umno dibawa ke mahkamah sehingga akhirnya Umno diharamkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang, turut menegaskan bahawa ketelusan dalam parti politik amat penting untuk mengekalkan kepercayaan dan kesetiaan ahli.
“Mereka bukan tak sayangkan parti tapi jika ketelusan parti sudah tidak dipercayai lagi, ahli yang setia pun boleh tergugat kesetiaannya,” katanya.
Terdahulu, Mohd Imran yang juga bekas Ahli Dewan Negara, meminta ROS mengarahkan partinya mengadakan semula pemilihan PKR di semua peringkat.
“Saya mendesak mengadakan pemilihan semula di semua peringkat menggunakan kaedah lama, satu anggota satu undi. Keputusan perlu diumumkan secara ‘real time’, perlu dipapar di layar gergasi bersama gambar calon yang bertanding.
“Saya juga meminta ROS membatalkan keputusan pemilihan pusat pada 23 Mei lalu,” katanya yang dalam aduan kepada ROS menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan proses dan prosedur pemilihan PKR.
Kata Imran, ini khususnya di peringkat cabang yang telah menyebabkan dia, dari cabang Lumut membuat aduan dan terdapat 190 aduan lain telah dibuat oleh cabang PKR di seluruh Malaysia.
“Jawapan secara bakul, yang kami terima adalah seperti dilapor, iaitu (dalam laporan) ‘Digital Audit and Forensic Report on the E-Voting System of Parti Keadilan Rakyat’ dan setelah diteliti terdapat beberapa perkara di muka surat 67 hingga 72.
“Yang tidak disantuni oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa sehingga menyebabkan keputusan pemilihan di peringkat cabang dilihat seperti diatur.
“Oleh demikian, kami dengan pendirian berani kerana benar dengan ini memohon supaya keputusan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada 23 Mei 2025, mohon pihak ROS batalkan dan arahkan supaya dilakukan pemilihan semula di semua peringkat pemilihan,” katanya dalam aduan tersebut.
Tambah Imran, bekas Timbalan Presiden, Dato’ Mohd Rafizi Ramli, bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli MPP, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, boleh menjadi saksi sekiranya ROS menyiasat aduan ini.
Beliau juga kecewa dengan aduan dan pandangan anggota parti kepada Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak diberi pertimbangan. – HARAKAHDAILY 6/6/2025
Ulasan
Catat Ulasan