SEMINGGU YANG DUKA ; TIGA PEJUANG TELAH PERGI SELAMANYA

SEMINGGU YANG DUKA ; TIGA PEJUANG TELAH PERGI SELAMANYA



Dalam seminggu ini, PAS Johor telah kehilangan tiga insan yang banyak menaburkan jasa dan bakti kepada perjuangan; Ustaz Mohamad Ariff Haron, Dr Mohamad Taslim dan Lt. Kol (B) Haji Mohd Nazari bin Haji Mokhtar. Tiga nama, tiga wajah, tiga generasi,, kini telah kembali ke pangkuan Allah SWT.

Ustaz Mohamad Ariff, Naib Ketua Pemuda PAS Johor, seorang pendakwah yang tenang, penuh kasih dalam tutur bicara. Beliau mendidik dengan akhlak dan memimpin dengan kelembutan. Kembali kepadaNya pada usia yang masih muda.

Dr Mohamad Taslim, seorang doktor yang hidupnya untuk berbakti. Beliau tak banyak bicara namun sentiasa murah dengan senyuman, tapi kebaikannya menjalar dalam diam, menyentuh ramai hati sama ada ketika sebagai ADUN Maharani ataupun sebagai rakyat biasa.

Hari ini, Haji Nazari, bekas calon Parlimen Tenggara, seorang pejuang yang teguh, berjiwa tentera, penuh disiplin dan istiqamah dalam apa jua yang diperjuangkan.

Ketiga-tiganya bukan hanya nama dalam senarai, tapi wajah-wajah yang pernah menyinari jalan dakwah ini. Kini mereka pergi, meninggalkan kita dengan kenangan, semangat dan amanah yang perlu diteruskan.

Hati ini berat menulis, tapi saya percaya Allah menjemput mereka dalam keadaan yang paling mulia; selepas sekian lama berkhidmat, berjuang dan bersabar.

Moga Allah ampunkan dosa mereka, rahmati roh mereka, dan menempatkan mereka bersama orang-orang soleh.

Al-Fatihah buat Ustaz Mohamad Ariff Haron, Dr Mohamad Taslim dan Kol (B) Haji Mohd Nazari bin Haji Mokhtar.

KFAK

Ulasan