Kemenangan ujian lebih berat daripada kekalahan
August 2, 2026
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan semua yang memperoleh kemenangan dalam pilihan raya supaya tidak terjebak dengan sifat ujub dan sombong.
Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu malah menasihati agar sebaliknya menjadikan kejayaan tersebut sebagai amanah besar perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata, kemenangan yang diraih bukanlah hasil kehebatan manusia semata-mata, tetapi merupakan kurniaan Allah SWT yang wajib disyukuri melalui tasbih, istighfar dan sujud syukur.
Menurutnya, Allah SWT menerusi Surah al-Nasr telah mengajar umat Islam supaya memperbanyakkan pujian kepada-Nya serta memohon keampunan apabila diberikan kemenangan.
“Kita mesti menginsafi bahawa kemenangan bukan datang daripada kekuatan dan kebijaksanaan manusia semata-mata, sebaliknya hasil pertolongan Allah SWT. Kita hanya mampu merancang dan berusaha, namun kejayaan tetap berada dalam ketentuan-Nya.
“Atas sebab itulah Allah memerintahkan kita bertasbih dan beristighfar ketika memperoleh kemenangan agar terhindar daripada sifat bangga diri serta merasakan kejayaan itu lahir daripada kehebatan sendiri,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, kemenangan juga tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan pihak lawan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan pihak lain.
Sebaliknya kata beliau, kemenangan perlu disertai dengan sifat tawaduk, kesederhanaan dan kesedaran bahawa setiap kejayaan adalah ujian daripada Allah SWT.
Lewat malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dan PH memenangi 11 kerusi.
Keputusan itu memberi BN dan PN majoriti dua pertiga setelah gabungan itu mendapat 25 kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan bersama di negeri beradat itu.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon yang berjaya mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, kemenangan tersebut bukan penghujung perjuangan, sebaliknya titik permulaan kepada amanah yang lebih besar untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Laksanakanlah segala janji dan manifesto yang telah diikrarkan kepada rakyat. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memikul amanah ini.
“Serta Allah SWT menjauhkan kita daripada mengulangi kelemahan dan kesilapan pentadbiran yang lalu. Saya memperingatkan kepada semua agar berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan pegangan politik mereka.
“Setelah pilihan raya berakhir, tiada lagi pemisahan antara penyokong dan penentang. Semuanya adalah rakyat yang berhak mendapat layanan yang adil, saksama dan penuh ihsan.
“Ingatlah, kemenangan yang sebenar bukanlah apabila kita berjaya menewaskan lawan, tetapi apabila kemenangan itu mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menjadikan kita lebih adil kepada manusia,” ujarnya.
Beliau pada masa sama mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya terus berlaku adil terhadap negeri-negeri yang ditadbir pihak lain walaupun tidak sehaluan dengan parti yang memimpin Kerajaan Pusat.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, ujian ketika memperoleh kemenangan sebenarnya jauh lebih berat berbanding ketika menghadapi kekalahan kerana ia menguji keikhlasan, kerendahan hati serta kemampuan seseorang memikul amanah.
“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kepada kita kekuatan untuk memelihara muafakat, memperkukuhkan Penyatuan Ummah, serta membimbing kita agar sentiasa berada di jalan yang diredai-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2026

Ulasan
Catat Ulasan