Apakah Definisi
Perancangan?
Oleh: Hj. Fauzi
Sebagaimana yang telah dicatatkan sebelum ini,
berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, ‘merancang’ ditakrifkan sebagai ‘proses
merencanakan atau mempersiapkan’. Takrifan yang ringkas ini walaupun mampu
dihuraikan namun skop huraiannya mungkin agak terhad.
Merujuk kepada beberapa buah buku pengurusan, takrif
perancangan mempunyai skop yang lebih luas. Umpamanya Harold Koontz dan Heiz
Weihmict dalam buku mereka ‘Management’ mentakrifkan perancangan sebagai satu
proses pengurusan yang melibatkan pemilihan misi, penetapan objektif dan
perangkaan pelan tindakan untuk mencapainya. Pada masa yang sama, perancangan
melibatkan proses pembuatan keputusan iaitu membuat pilihan ke atas pelan
tindakan.
Manakala James A.F Stoner dan Charles Wankel
dalam buku mereka yang turut mempunyai tajuk yang sama iaitu ‘Management’
mentakrifkan perancangan sebagai satu garis panduan yang dirangka oleh pihak
atasan sesebuah organisasi bagi mencapai maksud asal penubuhannya. Pada masa
yang sama, perancangan membantu pihak pengurusan organisasi menentukan arah
tujuan organisasi, memutuskan isu-isu yang berkaitan dengan persoalan mengenai
– apa, bila dan bagaimanakah pelan perancangan akan dilaksanakan dan siapa yang
akan melakukannya. Stoner dan Wankel juga melontarkan pandangan bahawa
’perancangan tanpa pelaksanaan adalah satu perbuatan yang sia-sia.’
Dengan merujuk kepada buku ’Pengantar Pengurusan’ yang
ditulis oleh Jaafar Muhammad, Mohd Hizam Hanafiah dan Zafir Mohd Makbul
mereka memetik pandangan dua orang tokoh dari barat yang memberikan pandangan
tentang definisi perancangan seperti berikut:
- Daft (1997) – Perancangan merupakan satu proses penetapan objektif dan menentukan apakah yang mesti dilakukan untuk mencapai objektif tersebut.
- Robbins & Coulter (1999) – Perancangan merupakan satu proses yang melibatkan pentakrifan objektif dan matlamat organisasi, mewujudkan strategi keseluruhan untuk mencapai matlamat-matlamat ini dan membangunkan rancangan yang menyeluruh untuk menyelaras dan mengintegrasikan semua aktiviti dalam organisasi.
Dalam buku Pengurusan Terkini yang ditulis oleh Wan
Azmi Ramli, beliau memetik beberapa lagi tokoh sarjana pengurusan dari barat
dalam memperkayakan lagi takrif ’pengurusan’ sebagaimana yang dicatatkan secara
verbatim seperti butiran berikut:
- Gary Dessler – Kaedah-kaedah yang terperinci yang diatur terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu.
- Andrew F. Sikula – Aktiviti-aktiviti fizikal dan mental yang dibuat sebelum berlakunya sesuatu.
- David Ewing – Suatu usaha untuk mewujudkan sesuatu yang belum wujud.
- Micheal Scoot – Suatu proses analitikal yang merangkumi penilaian masa depan, pembentukkan beberapa alternatif tindakan untuk mencapai matlamat dan pemilihan suatu tindakan di antara beberapa alternatif.
- Harold Koontz – Penentuan tentang apa yang hendak dibuat, bagaimana melaksanakannya dan siapa yang akan menjadi pelaksana.
Malah Wan Azmi Ramli sendiri memberikan pandangannya
dengan mentakrifkan perancangan sebagai satu penentuan arah tujuan yang bakal
dilakukan oleh sesebuah organisasi. Ini memerlukan penentuan tentang siapa yang
akan membuatnya, bila masanya dan bagaimana caranya untuk melaksanakannya.
Selain dari Wan Azmi Ramli, salah seorang sarjana
pengurusan di Malaysia iaitu Azman Che Omar melalui bukunya Pengurusan Di
Malaysia Dari Perspektif Islam mendefinisikan perancangan sebagai satu proses
menentukan objektif yang dikehendaki oleh pihak pengurusan atasan organisasi.
Dengan adanya perancangan, pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi akan
dapat merangka srategi-strategi tindakan yang sesuai dan terbaik dengan
mengambil kira faktor-faktor dalaman organisasi dan persekitaran luaran yang
akan mempengaruhi kehidupan sesebuah organisasi untuk mencapai objektif
tersebut.
Menurut Azman Che Omar lagi, perancangan melibatkan
rangkaian aktiviti yang menyeluruh dalam mencapai pelbagai matlamat yang telah
ditentukan. Jawapan kepada persoalan di bawah akan dapat melicinkan lagi proses
perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan;
- Apa yang diperlukan?
- Siapa yang bertanggungjawab?
- Bila akan dibuat?
- Mengapa tindakan tersebut diambil?
Takrifan-takrifan yang disenaraikan di atas dapat
memberikan lebih penjelasan tentang definisi perancangan dari sudut pandangan
sarjana barat mahupun cendekiawan tempatan dalam bidang pengurusan.
Sumber : http://uniprof.wordpress.com/2013/06/26/bahagian-2-definisi-perancangan/
Ulasan
Catat Ulasan