BAHAGIAN 12 : WAJAH BARU MANUAL PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PAS


BAHAGIAN KEDUA BELAS : WAJAH BARU MANUAL PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PAS

Muktamar PAS Pusat yang bersidang di Dataran Salleh Ros di Parit Raja, Batu Pahat Johor Darul Takzim telah memahatkan sejarah apabila Manual  Pengurusan dan Pentadbiran PAS (MPPP) yang diterbitkan oleh Sektor Pemerkasaan Organisasi di bawah Pejabat Setiausaha Agung PAS telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru  Datuk Seri Haji Hadi Awang.

Hampir 2200 naskah MPPP telah terjual sepanjang berlangsungnya Muktamar PAS Pusat di negeri Johor ini. Sepanjang tinjauan saya, bukan hanya para Setiausaha PAS di peringkat negeri dan kawasan sahaja yang membeli MPPP tetapi juga melibatkan ahli PAS yang hanya memegang jawatan di peringkat cawangan. Saya terserempak kelmarin dengan 3 anggota Jabatan Amal yang telah membeli MPPP dan mereka memberitahu bahawa mereka terpanggil untuk memiliki MPPP kerana ingin ‘belajar’ bagaimana PAS menguruskan partinya.

MPPP adalah dokumen penting untuk rujukan pentadbiran PAS di semua peringkat khususnya kepada Setiausaha PAS Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. MPPP ini mengandungi pelbagai maklumat yang diperlukan oleh seorang Setiausaha PAS Kawasan yang berperanan untuk mentadbir sebuah organisasi PAS kawasan yang semakin mencabar dewasa kini.

Kali terakhir, PAS menerbitkan Manual Pengurusan adalah pada tahun 2002 di atas usaha almarhum Ustaz Hassan bin Syukri ketika menjawat posisi selaku Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor. Ustaz Hassan Syukri yang dikenali sebagai Tokoh Pengurusan dan Pentadbiran PAS begitu serius dalam memberikan perhatian untuk memastikan PAS sentiasa memperbaiki pentadbirannya.


Sering kali saya menerima pertanyaan bilakah lagi PAS akan menerbitkan manual pengurusan? Persoalan ini timbul kerana selain daripada ketiadaan stok lama, sememangnya tiada lagi penerbitan baru manual pengurusan. Ia bukanlah bermakna usaha untuk memperkasakan pengurusan parti namun mungkin ia tidak didokumentasikan dengan cermat dan tersusun.

Secara ringkasnya, saya ingin memberikan penjelasan tentang manual pengurusan PAS ini. MPP mengandungi Manual Prosedur Kerja (MPK) dan Fail Meja (FM) yang mana MPK adalah sebuah dokumen rujukan bagi peringkat PAS Kawsan-kawasan, mengandungi fungsi dan objektif rasmi Parti Islam SeMalaysia (PAS), prosedur-prosedur yang jelas serta AJK dan staf yang bertanggungjawab bagi melaksanakan tiap-tiap aktiviti yang dipertanggungjawabkan. Dokumen ini adalah rujukan utama yang akan membantu Dewan dan Lujnah/Jabatan berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan.

Keterangan mengenai fungsi dan objektif rasmi yang sejelas-jelasnya dan diketahui secara dekat dan terperinci oleh setiap anggota dewan akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Prosedur kerja yang terperinci serta penentuan tanggungjawab yang jelas pula akan juga membantu AJK dan pegawai menjalankan tugas masing-masing dengan lebih cekap dan teratur.

FM pula adalah dokumen rujukan bagi seseorang Setiausaha. Dokumen ini, antara lain, mengandungi carta PAS Kawasan atau lujnah yang menunjukkan kedudukan individu dalam dewan/lujnah berkenaan, objektif Lajnah dan Jabatan dan Bahagian di mana individu ini ditempatkan serta prosedur kerja yang terlibat dengan jawatan individu yang berkenaan.

MPPP juga mengetengahkan struktur terkini Pejabat Setiausaha Agung (SUA) serta peranan-peranan yang dilaksanakan oleh SUA dan Penolong-penolong Setiausaha Agung (PSUA) Bagi memastikan perjalanan pentadbiran dan pengurusan kepejabatan lebih cekap dan teratur, MPPP memuatkan dokumen berkaitan dengan Etika Pejabat yang perlu difahami oleh Setiausaha dan petugas di pejabat operasi. Walaupun ia hanya dinyatakan secara ringkas namun ia amat perlu untuk diterapkan di dalam diri petugas parti yang bertugas sepenuh masa.

MPPP Begitu juga dengan pengenalan kepada Konsep 5S kepada para Setiausaha dengan tujuan untuk memastikan pejabat PAS  akan berada dalam suasana kemas dan tersusun dimuatkan di dalam MPPP ini. MPPP juga memuatkan kaedah untuk merangka pelan bertindak di peringkat kawasan melalui Pengurusan Strategik.

MPPP juga menjelaskan berkaitan dengan kaedah terbaik dalam pengurusan mesyuarat serta peraturan dan tatatertib Mesyuarat Agung PAS Kawasan. Saya melihat ia adalah merupakan satu keperluan yang perlu difahami dengan baik kerana aduan demi aduan berkaitan dengan salah urus pengendalian mesyuarat khususnya mesyuarat agung PAS yang akan memberikan kesan kepada PAS secara keseluruhannya. MPPP juga menyiarkan kod susunan Sistem Pemfailan PAS yang terkini dan perlu dipraktikkan di dalam pentadbiran PAS.

Saya bercadang untuk memberikan penerangan dan penjelasan mengenai MPPP kepada penggerak pentadbiran PAS khususnya para Setiausaha selepas Muktamar PAS Pusat ini. Ia perlu dihadamkan oleh pengurusan PAS dan saya mensasarkan agar ia dapat diselesaikan sebelum bermulanya mesyuarat Agung PAS di peringkat cawangan pada awal tahun hadapan. Ia bagi memastikan bahawa PAS dapat mengendalikan mesyuarat Agung PAS dengan sebaiknya tanpa berhadapan dengan masalah yang sering dibangkitkan pada tahun yang lalu.

Kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan jazakallahu khairan kathira kepada almarhum Ustaz Hassan bin Syukri dan almarhum Haji Ismail bin Ibrahim yang telah memberikan banyak tunjuk ajar dan panduan dalam memahami pengurusan PAS. Jasa mereka berdua ini sangat tinggi sehingga mendorong kepada penerbitan MPPP ini.

Semoga dengan penerbitan Manual Pengurusan dan Pentadbiran PAS ini akan dapat membantu memperkemaskan dan memperkasakan pentadbiran PAS di semua peringkat.

Wassalam



Ulasan