Bajet 2017: longgar syarat beli rumah tiada penyata gaji



Bajet 2017: longgar syarat beli rumah tiada penyata gaji

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa kerajaan agar melonggarkan syarat-syarat pembelian rumah kepada sesetengah pembeli yang tidak ada penyata gaji.

Ketua Penerangan Ikatan, Tunku Profesor Dr Fauzi Malek berkata, kerajaan sepatutnya menyediakan pilihan 'rent to own' kepada pembeli supaya mereka boleh menyewa tempat tersebut kemudian sewa rumah itu digunakan untuk bayaran bagi membelinya.

"Idea untuk bank memberi pinjaman 100% bagi rumah PPR adalah sangat bagus kerana harga jualan adalah di antara RM35,000 ke RM42,000 manakala nilai rumah tersebut boleh mencecah RM200,000 mengikut kawasan.

"Jadi kalau di beri pinjaman 100% pun kalau bank terpaksa tarik balik loan mereka, bank boleh melelong rumah tersebut dengan harga yang lebih tinggi," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, ramai di kalangan rakyat negara ini tidak tahu wujudnya skim perumahan apatah lagi hendak memohon rumah daripada skim PPR, PR1MA, My Beautiful Home, PPA1M, PMR, transit studio dan lain-lain lagi.

"Eloklah kalau kerajaan mewar-warkan skim yang sedia ada. Proses untuk mendapatkan rumah dan pinjaman untuk pembeli pun agak sukar. 

"Rumah transit pula bagi graduan yang terpaksa ke kota besar untuk bekerja boleh menyewa studio di kawasan ini selama 5 tahun. Semasa di sini mereka boleh mengumpul duit untuk membeli rumah baru. Satu idea yang bagus tapi kalau di buat di dalam kawasan seperti Wilayah Persekutuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kelayakan pinjaman perumahan untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada RM750,000. – HARAKAHDAILY 24/10/2016

Ulasan