LAWATAN KE KOLEJ KEMAHIRAN JOHOR





Pagi semalam saya telah meluangkan masa untuk Kolej Kemahiran Johor cawangan Kluang (KKJ Kluang).

Ini adalah lawatan pertama saya sejak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KPYPJ awal bulan ini. Banyak maklumat yang dikongsi bersama dan ada beberapa perkara yang akan saya bawa kepada Pengerusi KPYPJ merangkap MB Besar Johor.
Terima kasih kepada En. Daeng Jaafar bin Saadon dan semua staff yang memberikan layanan yang baik kepada saya tadi.

Saya sertakan info berkaitan dengan Kolej Kemahiran Johor untuk rujukan.

KOLEJ KEMAHIRAN JOHOR

LATAR BELAKANG

Sejarah

Kolej Kemahiran Johor bermula semenjak pengambilan Pusat Latihan Kemahiran (PLK) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat oleh Kumpulan Pendidikan YPJ pada tahun 1997. Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) adalah sebuah institusi latihan di bawah Kerajaan Negeri Johor yang bertanggungjawab mengurustadbir perlaksanaan aktiviti latihan kemahiran untuk 4 buah Kolej Komuniti YPJ yang terletak di negeri Johor.


Fungsi utama KPYPJ dan Kolej Komuniti YPJ ialah melaksanakan kursus kemahiran di peringkat sijil dan diploma dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan kemahiran belia lepasan sekolah sebagai persediaan merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri.

Pada 4 Ogos 2015 dan 10 Julai 2017, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KPYPJ yang dipengerusikan oleh YAB Dato’Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor telah memutuskan dan bersetuju untuk menukar nama Kolej Komuniti YPJ kepada nama baru iaitu Kolej Kemahiran Johor serta menggunapakai logo korporat yang baru. Selain mewujudkan jenama baru, perubahan nama ini ialah bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat dengan fungsi Kolej Komuniti milik Kementerian Pendidikan Malaysia.

SISTEM PERSIJILAN KEMAHIRAN MALAYSIA (SPKM)

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia adalahbertanggungjawab untuk merumus, menggalak dan menyelaras strategi dan program latihan kemahiran sejajar dengan keperluan serta perkembangan teknologi dan ekonomi negara. Untuk tujuan tersebut, JPK berperanan mengawal selia pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) iaitu satu kaedah penganugerahan kelayakan kemahiran kebangsaan.


Objektif SPKM adalah untuk melahirkan sumber manusia yang mempunyai kemahiran menjalankantugasan-tugasan di tempat kerja seperti yang digariskan di dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) / National Occupational Skills Standard (NOSS) dan disokong dengan pengetahuan dan kebolehan teras dalam bidang tertentu. NOSS merupakan dokumen yang menggariskan keterampilan yang di perlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan serta laluan untuk mencapai keterampilan tersebut.


Kolej Kemahiran Johor merupakan salah sebuah Pusat Bertauliah yang telah memenuhi jaminan kualiti yang ditetapkan oleh pihak JPK. JPK amat mengambil berat tentang jaminan kualiti di dalam pelaksanaan latihan. Jaminan kualiti merangkumi elemen kawalan terhadap institusi latihan dan juga terhadap pelajar itu sendiri. Di bawah sistem pentauliahan, JPK mempunyai garis panduan yang mantap dalam menilai keupayaan sesebuah institusi latihan untuk menjalankan program latihan sebelum pentauliahan diluluskan. Perkara yang dinilai dalam proses pentauliahan sesuatu institusi latihan adalah termasuk kemudahan infrastruktur dan peralatan latihan, tenaga pengajar yang berkelayakan serta kurikulum latihan yang lengkap dan memenuhi keperluan NOSS.


SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA (SKM)


Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) diiktiraf dan dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia. Persijilan Kemahiran Malaysia melahirkan sumber manusia berkemahiran selain menyediakan suatu laluan kerjaya dan pembangunan diri yang menarik setanding dengan laluan kerjaya berasaskan kelayakan akademik.


DIPLOMA KEMAHIRAN MALAYSIA (DKM)


Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) merupakan peringkat yang lebih tinggi dalam tahap-tahap kepakaran pelatih. Di dalam SPKM, setiap pelajar perlu lulus SKM Tahap 1, 2 dan 3 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat DKM. Lulusan DKM mempunyai kelayakan untuk menjawat jawatan lulusan Diploma IPTA dalam satu-satu skop perjawatan yang khusus.


KURSUS JANGKA PENDEK


Program sijil professional untuk peningkatan pengetahuan dan kemahiran bagi memenuhi keperluan dan penempatan tenaga pekerja dalam industri


Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai KKJ, boleh dapatkan di web rasmi KKJ seperti di bawah ;


https://www.kkj.kpypj.edu.my/

Ulasan