PERIKATAN Nasional Negeri Johor (PN Johor) menyambut baik keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan memanggil sidang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat serta persidangan Dewan Negara pula selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.
Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri semalam, mesyuarat ini dilaksanakan bagi tujuan untuk memberi penerangan kepada Ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.
Ia dilaksanakan berdasarkan kepada Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang mana semua Proklamasi Darurat dan Ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Keputusan untuk melaksanakan Sidang Parlimen ini juga selari dengan pandangan yang telah dizahirkan oleh Seri Paduka Baginda bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan SOP COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen Malaysia.
Titah Baginda sangat jelas yang mahukan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen. Justeru setiap Ahli Parlimen mestilah juga mengambil sikap menyahut pandangan YDPA untuk memastikan kesejahteraan negara dan rakyat diutamakan, bukannya melaksanakan politik sempit untuk menjadikan Sidang Parlimen sebagai medan perbalahan dan percakaran.
Gunakan persidangan ini sebagai ruang dan peluang untuk membantu kerajaan meringankan kesusahan rakyat bukannya menyusahkan rakyat yang kini sebahagiannya terkesan dengan wabak COVID19.
Sekian, wassalam.
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Penerangan
Perikatan Nasional Johor – HARAKAHDAILY 7/7/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10227889847257251&set=a.1731645896638&type=3
Ulasan
Catat Ulasan