PERUTUSAN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) KAWASAN KLUANG SEMPENA MA’AL HIJRAH 1443


PERUTUSAN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS) KAWASAN KLUANG SEMPENA MA’AL HIJRAH 1443


Saudara sekelian,

Hari ini, kita menyambut Ma’al Hijrah di seluruh dunia sebagai memperingati hijrah Nabi Muhammad SAW daripada Kota Mekah ke Kota Madinah.

Kita perlu menyedari bahawa Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah bertujuan untuk melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan ataupun ejekan semata-mata, tetapi ia bertujuan untuk membina masyarakat dan negara di negeri yang diizinkan.

Oleh sebab itu, hijrah menjadi satu tuntutan fardu ain bagi tiap-tiap yang mampu dan mestilah mengembelingkan tenaga bagi mencapai matlamat yang telah digariskan.

Firman Allah Taala:
“Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai tempat dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah adalah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang”.
(Surah An-Nisa’:100)

Justeru marilah kita bermuhasabah untuk memikul tanggungjawab menegakkan Islam sebagaimana qudwah yang ditonjolkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW yang mulia dan para sahabat yang bersabar dan teguh dengan keimanan demi mencapai matlamat meninggikan kalimah Allah dalam masyarakat dan negara.

Mudah-mudahan tahun baharu ini, dalam suasana kita masih lagi berperang dengan bencana COVID19, seluruh umat Islam, rakyat dan negara Malaysia tercinta sentiasa diberkati, dirahmati dan dilindungi oleh Allah S.W.T.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1443H kepada seluruh umat Islam.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
1 Muharram 1443H

Ulasan