PAS Kluang konsisten perkasakan nuqaba’

KLUANG: Majlis Nuqaba’ Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Kawasan Kluang telah menganjurkan Daurah Nuqaba’ siri pertama yang menghimpunkan para naqib dan naqibah dalam kawasan ini, semalam.


Daurah dijalankan secara atas talian menerusi aplikasi Google Meet ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada Nuqaba’ berkenaan gerak kerja yang diperlukan bagi menjalankan aktiviti tarbiyah peringkat kawasan.

Menurut Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil, tarbiyah merupakan nadi kepada jemaah di mana kekuatan parti adalah usrah yang menuntut ianya dilaksanakan secara istiqamah.

“Tunjang kekuatan parti adalah dengan adanya usrah. Maka perlu sentiasa mencari jalan untuk melaksanakan usrah walau dalam situasi pandemik,” nasihat beliau. 

Pengarah Majlis Nuqaba’ PAS Kluang, Muhammad Nazirul Munir Puniran pula menyatakan, Majlis Nuqaba’ berusaha melahirkan naqib dan naqibah yang berkebolehan agar dapat menjayakan agenda pentarbiyahan.

“Misi Majlis Nuqaba’ adalah untuk melahirkan para naqib dan naqibah yang berkebolehan dalam pengurusan usrah di samping mampu memimpin usrah secara berkesan dan dapat melahirkan amilin,” ujar beliau.

Para Nuqaba’ Kawasan dan Dewan-dewan yang hadir diberi dalam daurah kali ini telah diberikan pendedahan mengenai perjalanan dan pelaksanaan program tarbiyah dan usrah peringkat kawasan dan dewan-dewan.

PAS Kluang memperuntukkan hari Selasa minggu kedua dan keempat untuk diadakan usrah PAS Cawangan dan PAS Kawasan, adapun usrah Dewan-dewan adalah pada hari Ahad dan Rabu minggu pertama dan ketiga. 

Program-program pemantapan Nuqaba’ juga bakal diadakan seperti Ta’alim Muallim, bengkel latihan nuqaba’, bedah buku dan pelbagai lagi.

Turut serta Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kluang, Mohd Syafiee Musni dan Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Muslimat PAS Kluang, Kamariah Ahmad. – HARAKAHDAILY 1/9/2021

https://harakahdaily.net/index.php/2021/09/01/pas-kluang-konsisten-perkasakan-nuqaba/


Ulasan