29 HARI LAGI : MUKTAMAR TAHUNAN PAS PUSAT


29 HARI LAGI :
MUKTAMAR TAHUNAN PAS PUSAT

Tarikh Penubuhan PAS

Secara rasminya, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah ditubuhkan pada 24 November 1951. Namun ada yang berpendapat bahawa 23 Ogos 1951 adalah tarikh yang sepatutnya diiktiraf sebagai tarikh yang paling tepat.
Perkara ini berlaku kerana kedua-dua tarikh ini adalah sangat sinonim dengan sejarah tertubuhnya PAS. Sebenarnya terdapat tiga perhimpunan ke arah menubuhkan PAS;

1. Penubuhan PAS sebenarnya telah bermula di Johor apabila Persidangan Ulama’ Malaya kali Pertama telah diadakan pada 21-23 Februari 1950 di Kelab Melayu Muar, Bandar Maharani, Johor. Persidangan ini dianjurkan oleh ulama’ yang bergerak di dalam UMNO dan ianya dihadiri oleh 46 orang perwakilan. Resolusi Persidangan ini membawa kepada penubuhan Persatuan Ulama Se-Malaya (PAS) yang diketuai oleh Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Yang Dipertua.

2. Persidangan Ulama’ kali Kedua pula diadakan pada 23 Ogos 1951 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur yang mana telah memutuskan dua perkara, iaitu meneruskan langkah penubuhan Badan Tertinggi Agama Islam peringkat kebangsaan, dan menubuhkan sebuah persatuan alim-ulama yang bebas dengan nama Persatuan Ulama-ulama Se-Tanah Melayu (PAS). Kongres meluluskan supaya ditubuhkan jawatankuasa penaja dan membuat draf cadangan undang-undang tubuh persatuan.

3. Persidangan Ulama’ kali Ketiga atau Persidangan Persatuan Ulamak Malaya yang diadakan pada 24 November 1951 di Bagan Tuan Kecil, Butterworth. Persidangan ini dihadiri oleh 200 orang wakil termasuk pemerhati dan termasuk juga 20 orang mewakili kaum Ibu. Resolusi Kongres ini telah menukarkan nama Persatuan Ulamak Se-Tanah Melayu kepada Persatuan Islam Se-Tanah Melayu dan meluluskan Undang-Undang Tubuh Persatuan Islam Se-Tanah Melayu 1951.

Justeru PAS menetapkan bahawa tarikh rasmi bagi penubuhannya adalah pada 24 November 1951 dan tahun ini PAS akan menyambut ulang tahun penubuhannya untuk kali yang ke 70.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
PSUA PAS
7 Oktober 2021

Keterangan gambar ; Haji Ghazali Abdullah sedang mempengerusikan Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kechil, Seberang Perai pada 24 November 1951 yang berjaya menubuhkan PAS.

Ulasan