DOA RAKYAT MALAYSIA UNTUK THE MALAYSIAN TIGERS

 


Harapan untuk melihat pasukan Hoki Malaysia untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2023 yang bakal beraksi di India menjadi kenyataan apabila pasukan kita berjaya layak ke peringkat separuh akhir Piala Asia dan selepas India selaku tuan rumah turut mara ke saingan 'Super 4' Piala Asia 2022.

Pasukan yang digelar 'The Malaysian Tigers' sebelum itu layak ke ‘Super 4’ selaku juara Kumpulan B selepas melakar rekod cemerlang menang tiga perlawanan berturut-turut dengan membelasah Oman 7-0, diikuti kemenangan ke atas Korea Selatan 5-4 selain kemenangan besar 8-1 ke atas Bangladesh.

Skuad Hoki Kebangsaan akan bertemu Korea Selatan di pentas final Piala Asia 2022 pada pukul 7.30 malam hari ini di Jakarta, Indonesia. Hasil kemenangan 5-0 ke atas Jepun dan keputusan Korea Selatan terikat 4-4 dengan India sekali gus berjaya melayakkan Malaysia ke pentas final selaku juara kumpulan selepas mengumpul lima mata, Korea Selatan dan India juga mengumpul mata yang sama namun di bezakan dengan jumlah jaringan.

Pasukan Malaysia, Korea, Jepun dan India akan menyertai 12 lagi pasukan di Piala Dunia nanti iaitu Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Alhamdulillah, misi Konfiderasi Hoki Malaysia (KHM) untuk layak ke Piala Dunia telah pun berjaya. Tahniah kepada KHM, tahniah kepada idola saya iaitu Dato’ Mirnawan Nawawi “The Boss selagu Pengurus Pasukan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan”, tahniah Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arulselvaraj dan kepada semua para pemain yang telah bermati-matian untuk memastikan Malaysia layak sekali lagi ke Piala Dunia Hoki.

Kemampuan pasukan Hoki Malaysia ketika ini sudah tentu membangkitkan semangat rakyat Malaysia untuk melihat pasukan kita kembali beraksi di persada antarabangsa di Pentas Piala Dunia.

Tanpa menafikan bahawa hoki bukanlah sukan yang popular seperti bola sepak sehinggakan kurang mendapat perhatian yang sewajarnya malah ada yang tidak menghargai pencapaian berkenaan dengan alasan utama tidak banyak negara yang bermain hoki berbanding bola sepak. Apapun usaha untuk mengharumkan nama negara mestilah diberikan sokongan oleh semua pihak dan mereka mestilah diberikan perhatian dan penghargaan yang sewajarnya.

Mungkin masih ramai yang tidak menyedari bahawa ini adalah merupakan kali kesembilan skuad hoki negara berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1971 dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat keempat pada edisi 1975 ketika Malaysia menjadi tuan rumah.

Dengan layaknya Malaysia ke Piala Dunia ini maka ia adalah penampilan ketiga berturut-turut skuad negara di kejohanan berprestij itu selepas 2014 dan 2018. Ia bukannya satu perkara yang mudah namun barisan pemain negara mampu kekal konsisten untuk bersaing dengan kelompok terbaik dunia.

Pasukan Hoki Malaysia masih kekal sebagai kuasa besar hoki dunia namun kita masih belum mampu untuk menjadi kuasa utama seperti pasukan Belanda, Australia, Jerman ataupun Belgium. Agak sukar untuk pasukan hoki Malaysia menduduki sekurang-kurangnya Enam kedudukan teratas sebaris dengan pasukan hebat dunia.

Sudah tiba masanya peruntukkan yang lebih besar kepada pembangunan sukan hoki untuk kita dipertimbangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperolehi keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian pasukan Hoki Kebangsaan kita. Namun mari kita alihkan tumpuan ke Jakarta untuk memberikan sokongan kepada Skuad Hoki kita. Kita masih ada lagi satu lagi perlawanan untuk menentukan kejayaan bagi memperoleh kemenangan sulung juara Piala Asia buat kali pertama.

Ayuh rakyat Malaysia, tunjukkan solidariti kita!

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
1 Zulkaedah 1443 / 1 Jun 2022
2.50 petang

Ulasan