RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022



RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022

Salam sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas di dalam perbahasan ini yang melibatkan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan yang telah berjaya membawa RUU ini ke Dewan Rakyat dan seterusnya tahniah kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang telah sebulat suara menyokong RUU ini tanpa pindaan.

Ini menunjukkan bahawa RUU hadir hadir tepat pada masanya bagi membela kaum isteri kerana isteri adalah merupakan pengurus bagi rumah tangga. Ini adalah skim baharu, yang pertama dan tidak pernah dilaksanakan dalam mana-mana perlindungan insurans membabitkan suri rumah.

Tuan Yang Dipertua,

Dalam satu hadith, Nabi Muhammad ada bersabda ;

“Wanita itu adalah pemimpin dalam rumah tangganya dan bertanggungjawab tentang kepimpinannya.”
(Hadis riwayat Bukhari)

Hadith ini dengan jelas menyatakan bahawa wanita atau isteri itu berperanan sebagai Pengurus keluarga. Ini bermakna wanita atau isteri adalah mereka yang menjalankan tugas untuk menguruskan rumah tangga dan golongan wanita atau isteri ini perlu diberikan perhatian dan perlindungan yang sewajarnya.

Sekali pandang, seolah-olahnya Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) ini seperti meletakkan kedudukan isteri seolah-olah seperti Pekerja kepada suami kerana suami berperanan sebagai Majikan yang mencarumkan isteri.

Namun sebenarnya ia adalah satu peningkatan martabat isteri yang perlu diberikan penghargaan.

Antara tuntutan yang menarik perhatian saya adalah ;

Tuntutan bagi faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, faedah menghidap keilatan, faedah elaun keuzuran, faedah hilang upaya kekal, pembayaran faedah apabila suri rumah berinsurans mati dan faedah pengurusan mayat.

Semua ini akan dikira apabila berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka daripada apa-apa penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin mendapatkan beberapa penjelasan dan maklum balas daripada Menteri berkaitan dengan RUU ini.

Pertamanya, bagaimana mekanisme untuk memastikan bahawa pihak suami akan mencarumkan isteri.

Keduanya, bagaimana kaedah untuk memastikan mereka yang tidak berdaftar dengan i-Suri di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dicarumkan sekiranya mereka tidak didaftarkan oleh suami.

Ketiganya, adakah satu kewajaran untuk menetapkan tafsiran suri rumah dalam SKSSR meliputi perempuan yang belum berkahwin?

Keempatnya, adakah kerajaan berhasrat untuk meningkatkan usia pencarum daripada usia 55 tahun ke 60 tahun?

Tuan Yang Dipertua,

Saya sangat mengharapkan agar RUU akan diterima secara Sebulat Suara di dalam Dewan yang Mulia ini.

Saya dengan ini menyokong Rang Undang Undang Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Sekian, terima kasih.

YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAN A/L NACHIAPPAN, JP

Ulasan