YB Senator Balasubramaniam : RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022



RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022

Salam sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas di dalam perbahasan ini yang melibatkan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022, bagi meminda Akta Cukai Jualan 2018 (Akta 806), melibatkan pindaan ke atas empat seksyen sedia ada dan mewujudkan lima seksyen, satu jadual dan satu bahagian baharu dalam akta tersebut.

Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 yang mengandungi 10 Fasal dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022 yang mengandungi tujuh Fasal.

Tuan Dipertua,

Langkah kerajaan untuk mengenakan cukai terbaharu ini sudah tentulah akan dilihat sebagai satu bebanan baharu kepada rakyat yang kini sedang berhadapan dengan pemulihan dari Covid19.

Mengikut jawapan Timbalan Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat ketika menjawab keperluan untuk meminda akta ini menyatakan bahawa pindaan akta ini adalah bagi meluaskan skop kenaan cukai jualan dengan mengenakan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian dan barang tersebut diimport masuk ke Malaysia.

Untuk rekod di dalam Dewan Negara, LVG bernilai RM500 dan ke bawah pada ketika ini tidak dikenakan sebarang cukai apabila diimport masuk ke Malaysia.

Tuan Yang Dipertua,

Saidina Umar Al-Khattab ketika memerintah telah memperkenalkan cukai-cukai baru yang belum pernah wujud pada zaman Nabi Muhammad. Antaranya ialah kharaj (cukai tanah), cukai perniagaan dan beberapa cukai yang lain-lain.

Dalam kaedah fiqh menyebutkan;

"Tindakan pemerintah terhadap rakyat adalah mengikut maslahat"

Maknanya setelah pemerintah mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar maka pemerintah boleh kenakan cukai yang sewajarnya. Maka saya ingin mendapatkan penjelasan sama ada kerajaan telah pun mengambil kira pandangan-pandangan daripada mereka yang pakar dan telus dalam hal ini.

Tuan Yang Dipertua,

Cukai yang dikenakan ini adalah bagi memberikan keadilan kepada peniaga tempatan kerana barangan yang diimport tidak dikenakan cukai, sedangkan barangan keluaran tempatan tertakluk kepada kenaan cukai jualan pada kadar yang ditetapkan.

Dari satu sudut, nampak seperti adil kerana kedua-dua pihak dikenakan cukai namun adakah kerajaan tidak berhasrat untuk tidak mengenakan cukai pada kadar yang sama kepada kedua-dua pihak iaitu barangan dari dalam dan luar negara.

Jika tidak dikenakan cukai LVG bernilai RM500 kepada peniaga tempatan, berapa jangkaan kehilangan cukai yang sepatutnya di terima oleh kerajaan. Keduanya, sekiranya pindaan ini diluluskan, berapakah jangkaan perolehan yang akan diterima oleh kerajaan?

Tuan Yang Dipertua,

Saya juga ingin mendapatkan penjelasan bagaimana dan apakah langkah-langkah yang kerajaan akan lakukan bagi memastikan bahawa ketirisan dapat dielakkan dalam melaksanakan Cukai Jualan ini nanti.

Tuan Yang Dipertua,

Saya dengan ini menyokong Rang Undang Undang Cukai Jualan (Pindaan) 2022

Sekian, terima kasih.

YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP

Ulasan