PASTI semakin berkembang pesat di Tawau




TAWAU: Biarpun terletak begitu jauh dari Kota Kinabalu, namun Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kini semakin berkembang pesat di Tawau.
Yang Dipertua PAS Tawau, Mohammad Hussain berkata, kini terdapat sebanyak 26 PASTI di daerah itu selepas bertapak 36 tahun lalu.


Katanya, dalam tempoh tersebut terdapat berpuluh ribu alumni PASTI di Tawau yang dilahirkan daripada pendidikan di kelas-kelas PASTI.

“Masyarakat tempatan menerima PASTI bagi menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan pra-persekolahan yang berorientasikan agama,” katanya di sini.

Menurutnya juga perkembangan pesat PASTI dapat dilihat apabila setiap program dianjurkan disertai ribuan pelajar bersama keluarga.

Pada Ahad lepas, kira-kira 4,000 penduduk hadir memeriahkan Temasya Sukaneka PASTI Tawau Ke-33 yang diadakan di Kompleks Sukan Tawau.

Temasya itu disertai 26 kontinjen murid-murid PASTI. Mereka menyertai lima acara balapan yang dipertandingkan iaitu lari 50 meter, 75 meter, isi air dalam botol, lari kutip gula-gula, lari bawa bola dan lari bawa bola menggunakan gelung.

Temasya tersebut juga turut mempertandingkan acara awam iaitu lari 50 x 8 untuk bapa manakala acara anyam ketupat untuk ibu.

Johan keseluruhan disandang PASTI Nurul Ain Batu 2; naib johan PASTI Nurul Mawaddah Taman Ria manakala tempat ketiga, PASTI Nurul Huda Kampung Pasir Putih. – HARAKAHDAILY 25/1/23

Ulasan