Tutup premis judi: MB yakin hasil sumber lain lebih banyak




ALOR SETAR: Kerajaan negeri sanggup kehilangan pendapatan daripada hasil cukai premis perjudian berjumlah RM400,000 setahun berbanding kesan buruk yang terpaksa dihadapi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu tidak akan memberi apa-apa kerugian berbanding kesan buruk akibat ketagihan judi yang membawa kerosakan besar kepada masyarakat dan keluarga.

“Seandainya hasil cukai premis perjudian ini RM400 juta setahun pun saya akan memberhentikannya.

“Hilang pendapatan dari hasil cukai premis judi tidak akan memberi apa-apa kerugian kerana ia selari dengan tuntutan Allah SWT,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Sanusi yakin akan ada hasil lebih banyak daripada sumber yang lain di samping dapat menyelamatkan masyarakat daripada kerosakan yang disebabkan oleh perjudian.

“Tiada pun orang kaya kerana judi. Tauke judi sahaja kaya. Tahi judi, tahi tikam nombor, bomoh karang pun tak kaya,” tambahnya.

Jelas beliau, penutupan premis judi di negeri itu bukanlah tindakan drastik kerana perkara itu sudahpun diumumkan pada November 2021.

Pada pengumuman itu, pihaknya telah memaklumkan lesen-lesen premis judi yang telah tamat tidak akan disambung atau diperbaharui selain tiada lagi lesen baharu dikeluarkan.

“Penamatan lesen itu sebenarnya tidak berlaku serentak pada 31 Disember 2022. Ia tamat dari semasa ke semasa.

“Hanya lesen terakhir tamat 31 Disember 2022 tetapi ada premis yang lesennya tamat sebelum daripada itu tetapi meneruskan operasi sehingga tarikh berkenaan.

“Para pengusaha premis perjudian pun telah membuat persiapan untuk mengalih perniagaan masing-masing kerana keputusan itu telah diketahui sejak November 2021 lagi.

“Cuma cuba dipanaskan semula oleh pihak tertentu awal tahun ini atas tujuan tertentu. Tetapi bagi saya ia tidak menjadi kudis kepada kerajaan negeri kerana dasar itu telah diputuskan lebih awal,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/1/2023

Ulasan