Isu air Selangor: Hendak tunggu berapa tahun lagi?




NEGERI lain juga ada masalah air namun tidak seteruk Selangor, sedangkan ia adalah antara negeri paling kaya di Malaysia. Pelik bukan?
Selangor mempunyai kadar kekerapan terputus bekalan air yang tertinggi di Malaysia.

Sejak 2014 lagi rakyat Selangor terpaksa menghadapi isu yang sama.

Tahun 2020 sahaja Selangor telah melalui 9 siri pencemaran sumber air mentah dan 8 kali gangguan bekalan air yang menjejaskan sebahagian besar pengguna.

Inipun masih ada orang nak berhujah yang catuan bekalan air adalah disebabkan musim kemarau.

Bukannya kerajaan negeri dan Persekutuan tidak tahu isu yang berlaku. Mereka sudah maklum sejak lebih sepuluh tahun yang lalu.

Tiada usaha yang digerakkan ke? Ada. Cuba tanya, apa khabar pelan penstrukturan industri bekalan air Selangor 2008?

Operasi kilang haram yang menyukarkan kerja-kerja memantau pencemaran sungai dan yang menjadi punca pencemaran juga tiada penyelesaian sampai sekarang.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sendiri sudah pernah menegur sikap Kerajaan Selangor yang dilihat teragak-agak dan mengambil masa lama memutuskan tindakan tuntas untuk menamatkan isu kilang dan premis yang beroperasi secara haram ini. Selangor yang menyedihkan.

Pembangunan begitu rancak namun isu air tetap berulang sedangkan permintaan bekalan air akan terus meningkat 3-4 peratus setiap tahun.

Hendak tunggu berapa tahun lagi baru rakyat Selangor boleh merasai nikmat hidup tanpa perlu singsing lengan baju mengangkut air? Sekian.

ZAIDY ABDUL TALIB
Yang Dipertua
PAS Kawasan Selayang – HARAKAHDAILY 1/2/2023

Ulasan