Onn Hafiz diminta bertanding Ketua Pemuda UMNO


KLUANG: Dalam usaha untuk mengembalikan semula maruah UMNO, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diminta bertanding merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Syed Mohd. Syed Nasir berkata, sebagai cicit kepada pengasas parti keramat orang Melayu, Onn Hafiz bukan asing selepas mula terlibat secara langsung dalam parti pada tahun 2013.

Katanya, Onn Hafiz pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong pada 2013 hingga 2018 dan pada masa sama memegang jawatan sebagai Exco Pemuda UMNO serta sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Tidak cukup dengan itu, Onn Hafiz kemudiannya diberikan tempat untuk menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam pada tahun 2018 sebelum menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang,” Katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam tempoh tersebut apabila Barisan Nasional (BN) menerajui kepimpinan negeri Johor selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Onn Hafiz dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Johor.

Katanya, kecemerlangan Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap sebagai seorang pemimpin semakin terserlah selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti besar pada Mac 2022.

“Dengan pengalaman beliau dalam arena politik selain darah pengasas UMNO yang lahir dalam tubuh badan menjadinya sebagai seorang yang berkelayakan untuk mengembalikan semula maruah UMNO, khususnya Pemuda. Sebagai rakan Pemuda di Simpang Renggam, besar harapan kami agar Onn Hafiz menyahut seruan ini agar UMNO kembali disegani kawan dan lawan pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Mohd. Ariffin Adenan memuat naik dalam akaun Facebooknya bahawa UMNO memerlukan kombinasi kepimpinan terbaik demi survivalnya.

“Saya cukup kenal dengan insan ini (Onn Hafiz). Maka, saya berpendapat bahawa beliau sememangnya berupaya menggalas tanggungjawab getir tersebut,” katanya.

Dalam hantaran itu, Mohd. Ariffin menyeru supaya Onn Hafiz menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. – UTUSAN


Ulasan