Pejabat Pas Pusat dibaling batu


Kuala Lumpur: Seorang lelaki membuat kecoh dan membaling batu sehingga pintu cermin Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut di sini, pecah.

Dalam kejadian pada jam 5.30 pagi itu, lelaki yang menaiki motosikal bertindak membaling batu ke arah premis berkenaan.

Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, kejadian berkenaan disedari pengawal keselamatan yang bertugas di premis itu.

"Pada mulanya lelaki terbabit membuat provokasi dalam bahasa yang tidak difahami sebelum bertindak membaling batu.


"Lelaki itu yang datang seorang diri kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal selepas pintu cermin pejabat pecah," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Khairul Faizi berkata, pengawal keselamatan kemudian menghubungi balai polis terdekat untuk tindakan lanjut.

"Tindakan lelaki itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (cctv) dan disaksikan gelandangan yang tidur berhampiran premis berkenaan.

"Pihak pejabat Pas pusat menyerahkan siasatan kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian.

Ulasan