Polis buru lelaki pecahkan dinding kaca Pejabat Agung PAS



KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memecahkan dinding kaca Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut berhampiran Chow Kit di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata usaha mengesan suspek yang dilihat menaiki sebuah motosikal ketika kejadian kini sedang dijalankan oleh Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 5.30 pagi dan kejadian disedari seorang pengawal keselamatan di situ.

"Seorang lelaki menaiki motosikal dilihat berhenti di hadapan bangunan Pejabat PAS, membuat bising dan membaling batu ke arah dinding pintu kaca sebelum melarikan diri.

"Polis Kontinjen Kuala Lumpur akan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian serta rakaman CCTV milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di kawasan sekitar," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini suspek belum dapat dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan dan pihaknya yakin suspek akan dikenal pasti dalam masa terdekat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat.

Terdahulu, beberapa gambar keadaan dinding kaca yang pecah dimuat naik menerusi akaun media sosial rasmi PAS selain memaklumkan satu laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Ulasan