10 maut termasuk Exco Pahang, pesawat terhempas di Elmina





SHAH ALAM: Sekurang-kurangnya sepuluh orang termasuk seorang exco Pahang dikhuatiri maut apabila sebuah pesawat ringan terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, di sini, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pesawat berkenaan yang berlepas dari Langkawi sudah diberi kebenaran oleh Menara Kawalan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang tadi.

Pesawat itu membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas di lokasi kejadian.

“Namun, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan mendarat.

“Semasa terhempas pesawat sama dilaporkan merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal masing-masing direkodkan seorang setiap kenderaan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Hussein berkata pada masa ini pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 10 mangsa yang terkorban.

Susulan kejadian itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bergegas ke tempat kejadian.

Sebuah video yang disiarkan oleh pengguna laman media sosial X @qamahl merakam lokasi kejadian nahas, dengan kepulan asap hitam tebal berkepul ke langit dan serpihan bertaburan di sebatang lebuh raya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata ketika ini pasukannya sedang bergerak menuju ke lokasi kejadian, lapor Bernama. – HARAKAHDAILY 17/8/2023

Ulasan