PAS sokong penuh pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi




PAS menyokong penuh inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di 289 buah sekolah-sekolah kerajaan secara rintis khususnya kepada guru dan murid yang beragama Islam.




Inisiatif ini sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang menuntut ke arah keutamaan pembentukan sahsiah dan kepribadian yang mulia.

PAS merasa dukacita tentang satu laporan berita mengenai sebuah kumpulan mewakili agama bukan Islam, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang melihat tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di atas sebagai tidak berperlembagaan.

Dalam Akta Pendidikan 1996, Seksyen 50(1): “Jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri”.

Pembangunan kurikulum pengajaran agama Islam dalam arus pendidikan perdana bukanlah baharu malah telah berjalan dengan baik melalui beberapa perubahan mata pelajaran seperti Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Tasawwur Islam, j-Qaf, Tamadun Islam dan beberapa modul lain dalam bentuk formal dan tidak formal.

Sebagai negara yang menjadikan agama Islam sebagai agama persekutuan berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, adalah amat wajar sekali, pengajaran agama Islam perlu menjadi keutamaan dan tanggungjawab ke atas Persekutuan.

Dalam sistem pendidikan di negeri-negeri di Malaysia termasuk di bawah pentadbiran PAS turut menekankan keutamaan ilmu fardhu ain dalam pelaksanaan pendidikan. Sebagai contoh di Kelantan, amalan terbaik keutamaan ilmu fardhu ain telah dijadikan indeks utama dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Rabbani. Ia selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan melahirkan insan seimbang dan harmoni berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Sebagai sebuah kumpulan agama seharusnya perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai, budi pekerti, moral dan tingkah laku yang baik seharusnya menjadi pertimbangan utama yang perlu dipersetujui bersama.

Justeru, PAS ingin mencadangkan modul yang sama disebarkan kepada kumpulan agama tersebut bagi tujuan perkongsian kepelbagaian nilai dan pengukuhan budaya Malaysia.

PAS turut berpendirian agar isu pengajaran agama Islam yang lain, yang pernah ditimbulkan sebelum ini turut diberi perhatian semula oleh KPM seperti menghidupkan semula j-Qaf, pemantapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), pertambahan Kelas Aliran Agama (KAA), pengukuhan pengajian tahfiz Ulul-Albab, penerusan peruntukan perkapita Sekolah Agama Rakyat (SAR), pengajaran Tamadun Islam di universiti dan pelantikan pakar pendidikan Islam dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan.

YB. DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASAN
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 26/8/2023

Ulasan