Pengampunan jenayah dari perspektif Islam dan Perlembagaan




MENURUT Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun (pardon), tunda hukum (reprieves) dan lega hukum (reprites) berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dan kesalahan di bawah mahkamah tentera. Manakala Raja atau Yang Di-Pertua Negeri mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing. Misalnya, jika jenayah itu berlaku di Kangar, Perlis, maka kuasa pengampunan itu adalah di bawah YAM Raja Perlis.

Walaupun kuasa ini diletakkan kepada YDPA, Raja-raja dan Yang Di-Pertua Negeri-negeri (YDPN), fasal (4) dan (11) dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Raja-raja dan YDPN serta YDPA melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan. Maksudnya dalam soal pengampunan ini, YDPA dan Raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan.

Siapakah anggota Lembaga Pengampunan? Menurut Perlembagaan, lembaga ini perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, Raja-raja atau YDPN.

Jika diteliti prinsip Islam dari sudut hukuman, kita dapati Islam menetapkan keadilan untuk semua tanpa sebarang pilih kasih. Keadilan adalah sesuatu yang wajib ditegakkan tanpa ada pengaruh kecenderungan kasih sayang atau permusuhan. Rasulullah S.A.W sendiri menyebut bahawa, jika anak kesayangannya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, dia juga pasti akan dihukum dengan hukuman potong tangan.

Lebih jauh lagi konsep pengampunan dan kemaafan tertakluk kepada tahap-tahap yang berbeza-beza. Dalam Islam manusia mempunyai had dalam memberikan kemaafan dan pengampunan. Dosa yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat, atau kesalahan mencuri dan merompak yang terletak di bawah kategori hudud tidak boleh diampunkan oleh manusia. Manusia hanya boleh memaafkan kesalahan orang lain ke atas dirinya sendiri. Dari sudut hukuman jenayah pengampunan yang wujud hanya dalam kes qisas, dan kuasa itu diberikan kepada mangsa atau keluarga, bukannya pemerintah.

Pemerintah dalam Islam, memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana yang diamalkan dalam konsep pemerintahan teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah. Oleh itu, dalam Islam, pemerintah tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Jika ada pertimbangan untuk meringankan hukuman sekalipun, ia perlu dibuat mengikut kaedah yang jelas, telus dan adil.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam Perlembagaan kita ini sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘royal prerogative of mercy’ atau ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak tahun 1617. Dalam kes, Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors [1985] 2 MLJ 385, HB (Malaya) Abdul Hamid menyebut bahawa kuasa pengampunan adalah kuasa tinggi prerogative of mercy yang bersifat eksekutif tetapi sifatnya itu menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman. Pendirian yang serupa juga dibuat dalam kes Juraimi Bin Husin lwn. Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang & Ors [2001] 3 MLJ 458.

Berdasarkan perbincangan di atas, kita dapat simpulkan bahawa kuasa pengampunan yang ada menurut Perlembagaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana pada dasarnya bukan kuasa yang diiktiraf oleh Islam. Jika hendak digunakan sekali pun ia perlu berasaskan prinsip yang jelas, adil, telus serta dengan asas yang dibolehkan. Amalan yang dilaksanakan selama ini sebenarnya bukanlah ‘pengampunan’ dalam bentuk membatalkan terus keputusan bersalah yang dibuat oleh mahkamah, tetapi dalam bentuk meringankan hukuman kerana pesalah itu berkelakuan baik dan mempunyai tanda-tanda insaf.

Perlembagaan tidak menyebut secara jelas faktor-faktor yang melayakkan seseorang pesalah untuk mendapat pengampunan. Namun apa yang pasti, Lembaga Pengampunan bukan mahkamah. Kuasa pengampunan bukan kuasa untuk menilai semula keputusan mahkamah, apatah lagi untuk mempertikai kewibawaan mahkamah atau mana-mana hakim.

Kuasa pengampunan juga tidak boleh digunakan atas asas yang bersifat politik, misalnya memberikan pengampunan kononnya atas sebab seseorang itu menjadi mangsa konspirasi politik. Jika politik dijadikan alasan untuk mewajarkan pengampunan, sistem keadilan dan kehakiman kita akan runtuh. Parti yang menang boleh menentukan siapa bersalah dan siapa tidak bersalah.

Latar belakang atau jasa seseorang yang didapati bersalah bukan satu jaminan bahawa dia berhak untuk mendapat pengampunan. Pengampunan juga tidak diberikan sebagai satu keistimewaan kepada seseorang yang pernah menjadi pemimpin utama negara atau apa-apa keistimewaan lain.

Situasi yang mungkin mewajarkan pengampunan adalah seperti apabila pesalah telah menjalani hukuman yang setimpal, menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman.

Oleh yang demikian, pengampunan segera kepada pesalah yang baru dijatuhi hukuman jenayah bukan satu pilihan yang munasabah.

Bayangkan betapa sukar, rumit dan panjangnya proses siasatan, pendakwaan, dan perbicaraan yang dilalui melibatkan institusi polis, SPRM, pendakwa raya, dan beberapa peringkat mahkamah, sehingga membawa kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah. Jika pengampunan segera diberikan kepada pesalah, maka kesemua proses yang panjang dan rumit itu menjadi sia-sia dan tidak bermakna. Malah pengampunan segera jika diberikan kepada pesalah, boleh dianggap sebagai satu tindakan memperkecilkan peranan institusi penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman dalam negara.

Jika diteliti secara lebih mendalam, tindakan memberikan pengampunan sebelum pesalah menjalani hukuman yang setimpal adalah satu langkah yang meremehkan peranan institusi kehakiman yang merupakan benteng penegak keadilan dalam negara. Sesuatu hukuman mahkamah dilaksanakan melalui proses penilaian yang teliti dan bersungguh-sungguh dengan mengambil kira semua aspek persoalan fakta dan persoalan undang-undang.

Bahkan beberapa lapisan perbicaraan dan rayuan, serta penglibatan hakim-hakim kanan dalam membuat keputusan juga menunjukkan kesungguhan badan kehakiman dalam menegakkan keadilan dalam negara. Alangkah sedihnya jika kesungguhan yang menjadi sandaran keyakinan rakyat terhadap institusi keadilan ini, akhirnya ditumpaskan melalui proses pengampunan segera yang dilaksanakan melalui proses yang tentunya tidak setanding dengan ketelusan dan ketelitian mahkamah.

Ringkasnya Islam tidak memberikan kuasa pengampunan kepada pemerintah. Kuasa yang dijalankan oleh Lembaga Pengampunan selama ini boleh dianggap menepati Islam jika ia melaksanakan fungsi mempertimbangkan permohonan untuk ‘meringankan hukuman’ bukannya ‘memberi pengampunan’. Oleh itu pihak yang terlibat perlu sangat teliti dan berhati-hati dalam melaksanakan fungsi berkenaan. Wallahu’alam.

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 28/8/2023

Ulasan