Perpaduan Ummah: Merakam sejarah khianat Zahid Hamidi



PRESIDEN Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan punca agenda perpaduan ummah terbantut dan penyebab kepada terbentuk kerajaan yang didominasi oleh bukan-Islam pada ketika ini.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas terbuka perihal tersebut di dalam ucapan beliau pada ceramah-ceramah sempena kempen PRN yang telah diadakan sepanjang dua minggu kelmarin.

Cerita beliau, sebelum PRU14 lagi Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BERSATU ketika itu telah mengajak PAS berbincang untuk menjatuhkan Umno, tetapi PAS tidak bersetuju kerana menganggap Umno sebagai rakan.

PAS juga katanya, tegas tidak bersama Pakatan Harapan (PH), namun walaupun PRU14 itu menyaksikan Barisan Nasional (BN) tumbang, malangnya Kerajaan Persekutuan yang terbentuk didominasi oleh bukan-Islam.

“Ini bahaya. Majoriti penduduk Malaysia adalah orang Islam, orang Melayu. Bukan makna kita fanatik Melayu, tidak. Kita mahu Islam-Melayu itu memimpin. Baiknya Melayu ni, keluarga Cina kecil boleh hidup (dalam) kampung Melayu.

“Di sekolah Cina, sekolah Tamil tak jadi masalah. Ini Melayu, lembutnya kita tak halau (kaum lain bila) dah jadi rakyat. Malangnya terdapat kalangan orang Melayu juga, nak ikut DAP, ikut PH ni. Bila cakap tentang Melayu (tuduh kita) rasis perkauman.

“Belah sana hentam Melayu tak apa, tentang Islam tak mengapa. Ni masalah yang dahsyat,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan gugatan sedia wujud ke atas kepentingan bangsa dan negara.

Zahid elak agenda perpaduan

Menurutnya, berikutan keputusan PRU14 sedemikian, maka satu perubahan dirancang untuk mengambil alih kerajaan melibatkan Ahli-ahli Parlimen Melayu-Islam dan Bumiputera serta MCA dan MIC yang tidak ekstrem.

Ketika itu kata Tuan Guru, beliau bertemu dengan Pemangku Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan memandangkan Zahid bercuti kerana kes mahkamah yang dihadapi Presiden Umno itu.

“Masa PRK (N.49 Sungai Kandis) di Selangor, Dato’ Mat Hasan minta PAS kerjasama. Saya kata insya-Allah kerjasama, tapi ada agenda besar, agenda Perpaduan Ummah. Kami dah bincang dengan Tun (Mahathir).

“Dato’ Mat Hasan kata okey kita teruskan. Lepas itu keluarlah Presiden Umno daripada cuti dia, datang dia ambil alih (semula jawatan) terus dianjur himpunan PAS dengan Umno. Dia nak heret kita, PAS dengan Umno saja, buat perpaduan.

“Kami kata tak boleh, mesti gabung tiga-tiga parti, PAS, Umno, BERSATU. Untuk dapat majoriti dua pertiga (di Dewan Rakyat). Untuk pinda Perlembagaan yang lemah-lemah itu. Dia (Zahid) desak (PAS bersama Umno sahaja). Kami tak terima, mesti tiga-tiga parti.

“Akhirnya dia tak tahan, dia setuju. Kami letak hari nak isytihar sama-sama ‘signed’ (tandatangan) Presiden-presiden parti. Tan Sri Muhyiddin (Yassin) signed, Zahid Hamidi signed, saya signed surat nak berjumpa.

“Bila sampai masa, Zahid batalkan. Ini dia, siapa yang bohong, siapa yang khianat batalkan (untuk menandatangani perjanjian itu),” ujarnya mendedahkan sikap Presiden Umno itu.

Sambung beliau, Kerajaan Pusat bagaimanapun berjaya diambil alih, tetapi Zahid masih buat pasal, padahal dia sudah berjanji tidak ada hubungan lagi dengan PKR dan DAP, termasuk sumpah ‘No Anwar, No DAP’.

Hubungan sulit

Namun kata Tuan Guru, secara senyap-senyap Zahid membuat hubungan tersebut dan PRU15 walaupun dipaksa untuk diadakan, mereka masih mengadakan perbincangan bersama di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

Dalam mesyuarat tersebut ceritanya, beliau diminta oleh Tan Sri Muhyiddin untuk bercakap dahulu di mana telah menegaskan betapa pentingnya orang Islam mesti bersatu ke arah perpaduan umat ni.

“Kalau kita tak bersatu, habis kuasa politik kita, jatuh. Jahanam negara kita ni. Tak boleh! Mesti Islam, majoriti memimpin, mesti begitu. Ketiga-tiga parti ini kena bersatu. (Tetapi) Dia (Zahid Hamidi) bercakap ajak bagi kerusi.

“Umno 80 kerusi, PAS 40, BERSATU alhamdulillah 20-30 (kerusi). Belum apa-apa ajak bagi kerusi. Saya kata, kita orang Islam ni kalau baca ayat Kursi (nak) halau syaitan, ini saya sebut. Dia baca ayat kerusi bagi syaitan nak berkelahi lagi.

“Saya sebutlah itu, saya tak lupa itu. (Tetapi) Jadilah apa yang jadi, dia (Zahid) degil juga,” ujarnya memberitahu bahawa dalam kalangan Umno sebahagian besarnya menerima cadangan perpaduan ummah ketiga-tiga parti.

Kerana PAS kata Tuan Guru, berjuang untuk menegakkan Islam sebagaimana juga Umno memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Umno sedemikian.

Oleh itu ujar beliau, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk mereka bersama, tetapi PRU15 dimasuki secara berasingan hingga berlakulah keputusan sebagaimana yang telahpun diketahui semua.

Sebutnya, Perikatan Nasional (PN) menang lebih 70 kerusi, tetapi PH walaupun lebih 80 kerusi; 40 daripadanya adalah DAP dan PKR dengan 30 kerusi ~ telah menjadikan kerajaan dibentuk itu didominasi oleh bukan-Islam.

Kerajaan berintegriti ‘digagalkan’

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramahnya sepanjang tempoh kempen PRN itu juga turut ada menyentuh mengenai isu sama berkaitan Dato’ Seri Zahid Hamidi.

Menurut beliau, ketika Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, PN sangat menjaga integriti di mana tidak melantik individu ‘Kluster Mahkamah’ menganggotai Kabinet walaupun Umno bersama menubuhkan kerajaan.

Setelah itu ceritanya, Umno menarik sokongan daripada Muhyiddin, namun beliau berlapang dada sanggup melantik kalangan Umno bagi menggantikannya, walaupun parti itu menyebabkan kerajaan dipimpin tumbang.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menjelaskan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri selepas Muhyiddin, turut berpendirian tidak mahu Parlimen segera dibubarkan, tetapi telah diasak oleh Presiden beliau sendiri.

Katanya, walaupun dipersoal tindakan Umno memberi tekanan kepada kerajaan diketuai Perdana Menteri dari parti itu sendiri, tapi mereka mendakwa pula ianya kerana wujud gelombang ‘kerajaan gagal’.

“Siapa yang buat kata kerajaan gagal, Umno-lah yang menyerang kerajaan gagal. Yang gagal itu Presiden Umno. Perdana Menteri daripada dia (Umno), tetapi dipaksa, akhirnya paksa dia untuk bubar segera Parlimen.

“Umno tetap tak puas hati. Desak segera bubar Parlimen, walaupun banyak kali beritahu kita perlu masa. Lalu dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, kita buat keputusan. Presiden beritahu, kita tidak akan bubar tiga negeri yang PAS kuasai.

“Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Kami tanya kenapa kita tak nak bubar? Tuan Guru Presiden PAS sebut, ‘saya melihat ada sesuatu yang akan berlaku, ada perundingan di belakang tabir, antara cikgu dengan murid dia’.

“Pada waktu itu, dia (Zahid) bersumpah, ‘wallahi wabillahi watallahi’ (dan) ‘No Anwar, No DAP’. Yang PH juga berjanji pada rakyat, penyokong-penyokong dia (untuk lawan Umno),” ujarnya mendedahkan sebab PAS tidak ikut membubarkan DUN dan kisah pengkhianatan Zahid itu.

Jelas beliau, Presiden PAS sejak awal lagi melihat wujudnya ‘permainan dan agenda terselindung’ di sebalik desakan untuk pembubaran segera Parlimen, namun bertindak dengan negeri dikuasai PAS tidak berbuat demikian.

IZWAN ABDUL HALIM

Ulasan