Serah borang PAS, gelombang tinggal Umno makin besar


KUALA TERENGGANU: Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, sehingga hari ini hampir semua Dun telah pun mengadakan program ceramah untuk memperkenalkan calon masing-masing.

Menurutnya, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan kehadiran yang ramai melibatkan pelbagai segmen pengundi.

Lebih menarik lagi, katanya program ceramah yang diadakan di beberapa DUN juga turut menyaksikan penyerahan borang keahlian PAS oleh bekas ahli dan pemimpin Umno.

“Ini menunjukkan bahawa gelombang meninggalkan Umno semakin membesar,” ujarnya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus juga percaya ahli-ahli Umno yang masih setia dengan Umno pun akan keluar beramai-ramai mengundi PAS dan PERIKATAN NASIONAL untuk menolak calon-calon Umno BN pada 12 Ogos nanti.

Ini, kata bagi mencetuskan perubahan besar-besaran dalam Umno pasca pilihan raya nanti sekali gus mengembalikan Umno ke landasan asal perjuangannya.

Dr Alias juga berkata pihaknya turut menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan rasuah

“Kita juga masih menunggu apakah sudah dimulai siasatan terhadap Zahid Hamidi berkenaan isu rasuah yang telah beliau taburkan pada belia Terengganu sebelum daripada ini,” ujarnya.

Ini, katanya kerana Dewan Pemuda PAS negeri telah membuat laporan berkenaan isu itu kepada SPRM pada hari Ahad yang lepas.

“Hari ini sudah hari Khamis, kami masih belum menerima sebarang makluman dan perkembangan samaada laporan ini sudah bermula siasatan atau pun tidak,” ujarnya lagi.

Beliau berharap kes itu perlu disiasat segera, sebagaimana segeranya siasatan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2023

Ulasan