‘Hangat’ isu tali leher, sut dan monyet di Parlimen



KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menetapkan peraturan bahawa Ahli Parlimen tidak wajib memakai tali leher.

Namun beliau menegaskan, mereka masih perlu memakai ‘lounge suit’ (sut yang terdiri daripada jaket dan seluar padanan); manakala pegawai kerajaan yang mengiringi menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen, dikehendaki memakai tali leher.

Pengumuman tersebut menyebabkan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin bangkit dan bertanya soalan yang agak mengelirukan, sekali gus mencetuskan kekecohan.

“Ayat Tuan Yang di-Pertua tadi kata.. kalau tak pakai tali leher, kena pakai kot (sut). Jadi kalau tak pakai tali leher, tak perlu pakai kot?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Larut.

“Maksudnya begini..,” kata Johari dengan tenang yang belum sempat menjawab tetapi tiba-tiba dibidas pula oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan yang menyifatkan Hamzah sebagai ‘pening’ lantas memintanya duduk.

“Ketua Pembangkang pening ni. Ketua Pembangkang, duduklah! Duduk, duduk! Buang masa. Arau pergi jadi Ketua Pembangkang, Ketua Pembangkang yang ada sekarang ni pindah tempat Arau. Tak faham bahasa. Buang masa!” laung Mohd Sany.

Hamzah lalu secara sinis menjelaskan bahawa beliau hanya memerlukan penjelasan berikutan tidak biasa dengan ‘monyet-monyet ini’.

“Saya ingin jelaskan saja, sebab Tuan Yang di-Pertua cakap sebegitu rupa. Saya di kampung saya, nak pergi jalan kampung hulu sana ada banyak monyet.

“Sebab itu saya tidak biasa dengan monyet-monyet ini dan minta Yang di-Pertua sila jelaskan,” katanya.

Tidak hanya berdiam diri, Mohd Sany yang dilihat agak terkesan dengan kenyataan Hamzah tersebut menegaskan, ia tidak kelakar dan menjemputnya ke Hulu Langat kerana ada banyak monyet.

“Tak kelakar, tak kelakar. Kalau tiada monyet, mari datang Hulu Langat. Ada banyak monyet. Tak kelakar langsung!” laungnya lagi.

“Hulu Langat, saya nak habiskan perenggan ini,” celah Johari pula.

“Tuan Speaker, ini bukan kali pertama Speaker, tolong disiplinkan Hulu Langat,” kata Hamzah lagi yang menyifatkan Mohd Sany terlalu emosi dalam sesi awal sidang Dewan Rakyat tersebut. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

Ulasan