Kami masih kehilangan kata-kata – pengurusan RXZ Members



KUALA LUMPUR: “Kami sebenarnya masih kehilangan kata-kata, masih diselubungi perasaan terharu.”

Itulah yang diungkapkan oleh pihak pengurusan RXZ Members dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, semalam susulan berakhirnya Himpunan RXZ Member 5.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Sabtu lalu.

Menurutnya, ini kerana selama ini di belakang mereka adanya insan-insan yang sejak daripada awal menyimpan hasrat dan cita-cita bagi memastikan program itu menjadi satu acara tahunan yang gilang gemilang akhirnya telah berjaya mencapai cita-cita untuk menghimpunkan peminat RXZ.

“Tidak bermakna program ini tanpa adanya yang selama ini telah membantu secara langsung atau tidak langsung, yang tetus memberikan sokongan daripada awal sejak ia mula diadakan sehingga kini,” ujarnya.

Berikut ialah kenyataan maaf daripada pihak pengurusan RXZ Members.

Terima kasih kepada semua peserta RXZ Members yang datang dari seluruh negeri, malah ada yang datang dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Anda sungguh ‘awesome’ sehingga berjaya mencipta rekod sendiri dengan kehadiran sehingga mencecah puluhan ribuan yang hadir menjayakan perhimpunan tersebut.

Sesuatu perkara yang sangat di luar jangkaan kami, dengan kehadiran anda semua yang telah menjadikan program ini cukup bermakna kepada kami.

Namun di sini kami mengambil kesempatan di atas beberapa insiden yang berlaku di luar pemikiran pihak kami, malah tidak pernah menyangka ianya akan berlaku sebagaimana yang diketahui.

Di atas apa yang berlaku tersebut, kami memohon maaf kepada seluruh RXZ Members yang hadir dengan penuh bersemangat sehingga sanggup menghabiskan wang ringgit, masa, tenaga dan juga melakukan segala persediaan demi untuk sama-sama menjayakan berhimpunan RXZ members di atas minat yang sama serta bersatu hati mencintai dunia RXZ demi mengembalikan semula kegemilangan RXZ.

Kami juga memohon maaf kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tanpa disedari masih ada segelintir kecil yang tidak sengaja mengikut lunas undang-undang jalan raya.

Selama ini pihak kami telah cuba bertungkus lumus bagi memastikan program kali ini lebih mantap dan lancar memandangkan ini adalah kali kelima ia diadakan.

Secara tidak langsung dengan sering mengadakan kunjungan hormat kami telah mendapat nasihat serta saranan yang baik daripada pihak berkuasa, namun tiada keupayaan pihak untuk memastikan ia sempurna, jadi adalah sedikit yang tidak memuaskan hati pihak berkuasa.

Oleh kerana itu kami dengan rendah diri memohon maaf dan akan cuba melakukan penambahbaikan untuk masa akan datang.

Di kesempatan ini juga kami mengambil kesempatan permohonan maaf kepada kerajaan negeri, khususnya rakyat Terengganu dan seluruh rakyat Malaysia yang menyokong event ini sehingga acara ini menjadi satu program tahunan yang besar dan menjadi daya tarikan untuk menjadikan Terengganu dikenali di persada negara serta telah membawa limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

Kami sebenarnya masih kehilangan kata-kata, masih diselubungi perasaan terharu kerana selama ini di belakang kami adanya insan-insan yang sejak daripada awal menyimpan hasrat dan cita-cita bagi memastikan program ini menjadi satu acara tahunan yang gilang gemilang akhirnya telah berjaya mencapai cita-cita untuk menghimpunkan peminat RXZ.

Tidak bermakna program ini tanpa adanya yang selama ini telah membantu secara langsung atau tidak langsung, yang tetus memberikan sokongan daripada awal sejak ia mula diadakan sehingga kini.

Jutaan terima kasih juga kami ucapkan kepada semua yang terlibat serta terus serta memberikan sokongan dari dahulu sehingga kini bagi memastikan program ini sentiasa mendapat tempat di hati seluruh peminat-peminat RXZ dari seluruh Malaysia.

Susah senang, jerit perih kita telah lalui bersama, namun tiada kita pernah menjangka ujian dan cabaran ini hadir tanpa pernah kita menduga.

Salam sayang buat semua

Sekian terima kasih. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

Ulasan