Iskandar Puteri: Umumnya setiap orang pernah mengalami sakit perut, bezanya mungkin simptom yang dialami tidak sama.
Simptom sakit perut bukan sahaja sakit di bahagian perut, tetapi adakala melarat hingga menyebabkan sakit di bahagian tertentu seperti pedih ulu hati.
Lazimnya, ramai di antara kita yang menyangka sakit perut disebabkan gastrik atau angin.
Pakar bedah umum Columbia Asia Hospital - Iskandar Puteri, Dr Siti Fareeda Ahmad Nor @ Anuar, yang berpengalaman luas dalam penyakit payudara dan gastrousus, menjelaskan sakit perut juga boleh disebabkan batu dalam pundi hempedu (gallstone disease)
Katanya, ramai pesakit yang datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika diserang sakit perut dan menyangka mereka mengalami gastrik.
"Kebiasaannya pesakit ini sudah lama mengalami sakit perut dan hanya mengambil ubat untuk menahan sakit. Selepas makan ubat individu akan reda. Tetapi sakit itu akan datang kembali menyerang.
"Jika dirujuk ke hospital, simptom dialami pesakit akan diteliti. Imbasan dan ultrabunyi akan dilakukan supaya dapat dilihat punca sakit perut yang dialami pesakit.
Dengan kaedah itu, dapat dilihat dan dikesan sama ada kesakitan disebabkan gastrik ataupun pundi hempedu," katanya ketika sesi temubual di Columbia Asia Hospital- Iskandar Puteri di sini.
Simptom hampir sama
Dr Siti Fareeda berkata, sakit di bahagian perut juga boleh disebabkan keradangan, angin kembung, asid dalam perut, apendik, masalah usus besar dan sembelit.
Bagaimanapun, katanya simptom yang hampir sama ditunjukkan antara gastrik dan batu dalam pundi hempedu kerana organ berkenaan terletak berdekatan.
"Bezanya apabila gastrik menyerang, pesakit akan makan ubat dan mengambil makanan, kemudian selepas itu mereka akan beransur lega.
"Tetapi tidak bagi sakit pundi hempedu yang lebih teruk simptomnya. Pesakit akan berasa kembung perut, muntah, demam dan terlalu sakit dengan kerap, walaupun sudah mengambil makanan dan ubat .
"Sakit batu pada pundi hempedu kerap dialami di bahagian perut kanan sebelah atas, namun jika terlalu sakit ia boleh dirasakan sehingga pada bahagian belakang badan," katanya.
Dr Siti Fareeda menjelaskan, selepas rawatan ultrabunyi tidak dapat mengesan batu dalam hempedu dan pesakit masih berasa sakit di bahagian sama, kaedah lain digunakan.
"Kaedah endoskop akan digunakan seterusnya dan prosedur itu tidak membabitkan pembedahan. Namun penggunaannya mampu mengesan masalah lain seperti gastritis, luka atau ulser dalam perut dan juga kuman helicobacter pylori. Selepas dikenal pasti masalah, nasihat pemakanan yang betul dan ubat diberikan.
Sekiranya kesakitan disebabkan batu pundi hempedu dikenal pasti, prosedur pembedahan perlu dibuat dengan membuang hempedu terbabit yang kebiasaannya sudah dijangkiti kuman," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kes pesakit yang datang mendapatkan rawatan sakit perut disebabkan batu hempedu, biasanya ia membabitkan wanita tubuh besar atau obesiti.
Katanya, bagi masalah sakit perut disebabkan usus besar pula kebanyakan pesakit menunjukkan simptom cirit-birit dan najis berdarah.
"Bagi mengurangkan risiko sakit perut terutama batu hempedu, pemakanan sihat dan seimbang perlu diamalkan.
"Malah salah satu penyebab kewujudan batu dalam hempedu adalah pemakanan yang tidak seimbang dan berminyak," katanya.
Dr Siti Fareeda berkata, bukan sahaja perubahan diet pemakanan secara seimbang, tetapi masa pemakanan juga perlu mengikut seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).
Makanan yang seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan garam galian pada kadar yang betul.
"Pesakit hanya perlu menukar corak pemakanan dengan mengurangkan makanan berminyak dan berlemak, sebaliknya mengamalkan diet sihat dan seimbang.
"Seeloknya amalkan pemakanan hidangan suku, suku separuh, iaitu 1/4 pinggan bijirin atau nasi perang, 1/4 pinggan ikan atau ayam, daging atau telur dan separuh pinggan buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Sekiranya pesakit tidak mengubah cara pemakanan yang sihat dan seimbang, mereka akan berasa sakit perut lagi biarpun ubat sudah diberikan," katanya.
Hilang selera makan
Dr Siti Fareeda berkata, beliau pernah mengendalikan kes yang mana seorang pesakit wanita mengalami sakit perut untuk satu tempoh dan sebelum itu hanya mengambil ubat tahan sakit di klinik.
Katanya, menurut wanita itu dia juga mengambil ubat dari klinik dan farmasi lain bagi menahan sakit perut kerana percaya ia adalah gastrik.
"Tetapi apabila dia mengalami sakit perut berterusan, wanita itu terus ke Unit Kecemasan Hospital.
"Selepas melakukan beberapa pemeriksaan didapati terdapat keradangan dan batu dalam pundi hempedu yang perlukan pembedahan segera, kerana terdapat jangkitan kuman. Alhamdulillah pembedahan selesai dan wanita itu selamat," katanya.
Menurutnya, namun situasi itu berbeza dengan simptom kanser perut.
Jelas Dr Siti Fareeda, tanda-tanda apabila seseorang itu berdepan kanser perut ialah kerap berasa kenyang biarpun makan pada jumlah sedikit.
Katanya, pesakit juga akan hilang selera makan, berat badan susut, loya, muntah, pedih ulu hati, sakit pada bahagian atas perut dan muntah berdarah.
"Apabila ada tanda seperti ini, pesakit perlu membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut yang berkaitan dengan kanser perut," katanya.
Mereka yang mengalami simptom sakit perut boleh mendapatkan rawatan dan khidmat nasihat lanjut dengan melayari laman web www.columbiaasia.com atau hubungi talian 07-233 9999.
Ulasan
Catat Ulasan