Terpesona dunia pempengaruh hilangkan minat jadi insan terpelajar


APABILA kita melihat kemewahan dan pendapatan lumayan sebagai kiblat kejayaan tanpa memikirkan kaedah dan prosesnya, seseorang akan mudah mengelabui dirinya sendiri.

Hal itu yang menjadi topik perbincangan hangat ketika ini apabila sangat ramai anak muda memilih untuk menjadi pempengaruh di media sosial dengan anggapan itulah makna kejayaan.

Tidak dinafikan di seluruh dunia kita melihat pelbagai aplikasi media sosial mempunyai jutaan pengikut. Malah kita mempunyai 22.54 juta pengguna TikTok menjadikan Malaysia di tangga ke-14 dalam senarai.

Hal ini tidak begitu menghairankan kerana TikTok mempunyai ramai peminat dan bagi sesetengah orang menjadi sumber berita dan hiburan. Justeru, kehadiran personaliti media sosial atau pempengaruh sangat menarik perhatian ramai. Mereka dengan ramai pengikut boleh menjana pendapatan. Malah, hari ini sudah ada anugerah khas media sosial yang menghimpunkan sejumlah pempengaruh.




Namun, ramai yang salah faham. Pempengaruh seperti disebut ramai orang bukan pekerjaan. Seperti dinyatakan pempengaruh yang baru saja dinobat sebagai 'Creator of The Year' baru-baru ini, Khairul Aming, seseorang perlu berilmu sebelum menjadi personaliti media sosial.


Tidak cukup dengan niat menjadi tular dan memberi hiburan sehingga melanggar batas adab, adat dan agama, malah tidak kurang juga yang sengaja menipu (prank). Pempengaruh perlu mempunyai ilmu pemikiran kritis, penyelesaian masalah, adab dan logik akal.




Malah Khairul Aming membuktikan dirinya tidak tampil 'kosong' sebagai pempengaruh. Beliau berpendidikan tinggi sebelum terbabit dalam dunia keusahawanan, manakala pembabitan dalam media sosial adalah sebagai kaedah pemasaran.

Namun, hal ini tidak difahami kebanyakan anak muda. Mereka melihat keseronokan ingin menjadi popular dan mudah menjana pendapatan secara singkat sebagai matlamat. Mereka membuat kandungan video atau bersiaran langsung di media sosial tanpa memikirkan sensitiviti agama, bangsa, halal haram, adab dan nilai murni.

Malah ada juga tidak segan bergelek, bergoyang, menghina, mengaibkan sesuatu pihak, bercakap dengan bahasa kesat tanpa segan silu semata-mata ingin mendapat perhatian atau 'engagement' yang tinggi seperti tanda suka, cinta, perkongsian semula dan komen pembaca serta pengguna lain.

Di sebalik terlihat senang dan mewah dalam laman sosial, banyak kebenaran tersembunyi. Misalnya, bukan semua kandungan dimuat naik dibayar secara langsung dan memberi pendapatan.

Jauh daripada itu masyarakat harus bimbang kecenderungan minat dan cita-cita seperti ini akan membunuh harapan juga impian membangunkan negara. Mana tidaknya, ia mungkin menyebabkan anak muda tidak minat dan malas belajar, apatah lagi menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Justeru, ibu bapa perlu memantau dan sentiasa mengingatkan anak supaya mereka tahu dan sedar kepentingan ilmu. Jangan ambil mudah terhadap pelajaran walaupun mungkin ingin menjadi pempengaruh. Hanya dengan pelajaran, seseorang berilmu dan melengkapkan diri dengan nilai sahsiah serta adab mulia.

Dalam konteks ini, masyarakat perlu membantu warga pendidik untuk membina persepsi positif terhadap pendidikan. Kekayaan tidak akan ke mana-mana tanpa disertakan dengan adab dan pendidikan. Kita tentu tidak mahu melihat kemerosotan kemasukan ke institut pengajian tinggi pada masa akan datang kerana cita-cita mahu cepat kaya dan popular dengan menjadi pempengaruh.

Sebagai rumusannya, generasi muda perlu merebut peluang untuk menimba ilmu dan meneruskan pembelajaran kerana ia menjadikan anda insan lebih baik. Berbekalkan ilmu di dada, walaupun anda memilih menjadi sebagai pempengaruh kandungan dimuat naik lebih bermanfaat disebabkan keupayaan berfikir secara kritis serta berilmu.

Untuk menghasilkan kandungan berkualiti dan kreatif memerlukan ilmu pengetahuan serta pendidikan tinggi. Ia perlu meninggalkan nilai yang baik dan menginspirasikan penonton juga peminat.

Jadilah pencipta kandungan yang memberi manfaat, kongsi kebaikan, memberi kesan baik dan memandaikan orang lain. Kita masih memerlukan generasi muda yang bijak pandai untuk membangunkan negara, justeru dengan adanya pempengaruh berilmu dan bukan sekadar mengejar populariti, ia tentu saja dapat memajukan ekonomi negara, sekali gus menyumbang kepada masyarakat dengan caranya tersendiri.

Dr Norshahniza Sahari Pensyarah kanan,
UiTM Kampus Segamat

Ulasan