TGHH tiada sebarang niat elak jumpa polis – Syahir


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiada sebarang niat mengelakkan diri daripada berjumpa dengan pihak polis.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman berkata terdapat beberapa tuduhan yang menyatakan Tuan Guru Abdul Hadi tidak sihat dan cubaan mengelak daripada berjumpa pihak polis untuk memberikan sebarang keterangan.

“Ini merupakan satu kekeliruan kerana memang benar Tuan Guru menerima rawatan pada Sabtu (2 September) pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu yang memakan masa antara tiga ke empat jam,” katanya.

Ini, jelasnya menyebabkan kelewatan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tiba di Kuala Lumpur yang bertujuan untuk mengambil rakaman keterangan oleh pihak polis mengikut jadual asal yang ditetapkan.

“Maka saya telah memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis pada 2 September jam 8 pagi ketika itu tetapi ada sesetengah media membuat kenyataan Tuan Guru tidak sihat dan cubaan untuk mengelakkan diri berjumpa dengan pihak polis.

“Maka, saya ingin menegaskan Tuan Guru dalam keadan sihat dan tidak mempunyai cubaan mengelak kerana jika bukan kerana rawatan tersebut maka sudah lama urusan keterangan ini diselesaikan pada hari tersebut jam 4 petang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Beliau turut menyatakan pihak polis telah bersetuju dan mengadakan tarikh baharu bagi mengambil keterangan Tuan Guru yang diadakan pada jam 11.30 pagi hari ini.

“Ini membuktikan bahawa tiada berlakunya cubaan atau helah untuk mengelakkan diri daripada berjumpa pihak polis seperti mana yang dinyatakan oleh sesetengah pihak,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Tambahnya, Tuan Guru telah memberikan kerjasama yang baik dalam memberikan keterangan kepada seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman selama hampir satu jam.

“Tuan Guru sendiri telah memberikan jawapan yang baik kepada setiap soalan yang dikehendaki oleh pihak polis berhubung kenyataan yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor minggu lalu,

“Maka ini menunjukkan perkara yang sebenar bahawa Tuan Guru daripada dakwaan-dakwaan yang menyatakan kononnya Tuan Guru mempunyai cubaan untuk mengelakkan diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

Ulasan