100 bot kibar bendera Palestin menyusuri sungai


KUALA TERENGGANU: Rakyat Terengganu turut bersolidariti bersama rakyat Palestin dengan menganjurkan perarakan bot dengan mengibarkan bendera Palestin bagi mengecam kezaliman Zionis Israel.

Lebih 100 bot yang dihiasi bendera Palestin berarak menyusuri sepanjang sungai di Jambatan Angkat (drawbridge) semalam demi menzahirkan solidariti bersama rakyat yang ditindas rejim haram Israel.

Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Terengganu, Yusuf Abdul Hadi berkata, perarakan bot berkenaan berlepas dari Marang pada jam 3.30 petang itu menyusuri sungai sejauh kira-kira 20 kilometer dengan mengambil masa hampir satu jam menuju ke lokasi terakhir di Jambatan Angkat.

Menurutnya, tujuan perarakan tersebut diadakan bagi memberi sokongan kepada penduduk Palestin selain mengecam kekejaman dilakukan rejim Zionis kepada penduduk di negara berkenaan.

Malah, ia sebagai keprihatinan di atas kekejaman dilakukan Zionis di Gaza serta memberi isyarat rakyat Terengganu turut bersama perjuangan mempertahankan hak Palestin.

“Perarakan ini sebagai salah satu tanda jelas rakyat Terengganu turut bersama dalam memperjuangkan tanah dan hak Palestin daripada terus ditindas Zionis Israel.

“Kita tunjukkan kepada dunia bahawa rakyat negeri Terengganu berdiri teguh dan bersama perjuangan di Palestin,” katanya.

Kata beliau perarakan bot yang dianjurkan Pemuda PAS Terengganu itu terbuka kepada semua pihak dari seluruh daerah di negeri ini.

Selain itu katanya, perarakan itu juga melibatkan pelbagai jenis bot manakala kira-kira 20 jet ski turut mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Palestin.

Sepanjang perarakan berkenaan, rakyat melaungkan ‘Free Palestine’ dan laungan takbir mengamatkan lagi suasana perarakan bot tersebut.

Orang ramai yang hadir menyaksikan perarakan itu turut mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti dan mendoakan kesejahteraan rakyat di negara berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/10/2023

Ulasan