Bumbung rumah diterbangkan ribut


ARAU: Sekurang-kurangnya 11 rumah rosak selepas bumbung diterbangkan ribut yang melanda sekitar Guar Sanji di sini, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud, berkata kawasan terjejas ialah sekitar Changkat Jawi dan Kurong Anai di sini yang dilanda ribut sekitar jam 3.30 petang.

"Pemantauan kami mendapati enam rumah di Kampung Changkat Jawi dan Kampung Padang Besar mengalami kerosakan bumbung.

"Anggota kami digerakkan bagi memberikan bantuan di samping melakukan pemantauan bencana," katanya ketika dihubungi, malam ini.


Antara rumah yang terjejas dilanda ribut di Guar Sanji, Arau, petang tadi. - FOTO IHSAN PEMBACA

Sehingga jam 8 malam tadi, katanya, tiada pertambahan jumlah mangsa dilaporkan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, turut melawat dan menyampaikan sumbangan awal bagi keluarga terjejas.

Beliau turut mendapatkan maklumat mangsa bagi rujukan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

Ulasan