Kempen kibarkan bendera Palestin



RAKYAT Palestin di Semenanjung Gaza sedang berhadapan dengan serangan dan pengeboman yang amat ganas oleh tentera rejim zionis Israel.

Angka korban di kalangan rakyat Palestin telah meningkat kepada 510 orang termasuk 91 kanak-kanak dengan 2,750 orang lagi dilaporkan cedera termasuk 244 kanak-kanak. Manakala pelarian Palestin yang tinggal di tempat perlindungan di Semenanjung Gaza telah mencapai 137,000, atau 90 peratus kapasitinya.

Sejak semalam, tentera rejim Zionis Israel telah melancarkan serangan udara dan pengeboman yang amat ganas ke atas bandar di Semenanjung Gaza, mengakibatkan kemusnahan besar termasuk mengebom masjid-masjid, sekolah dan hospital.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah mengarahkan kapal pengangkut pesawat terbesar tentera laut Amerika Syarikat dan kapal-kapal perang pengiringnya supaya segera berlepas ke Asia Barat untuk bersiap sedia berhampiran negara haram Israel bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Kementerian Pertahanan negara haram Israel juga telah mengarahkan supaya diwujudkan kepungan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza, tiada elektrik, makanan dan petroleum.

Justeru itu, atas dasar keimanan dan kemanusiaan terhadap saudara kita di Palestin, saya menyeru kepada seluruh umat Islam supaya kibarkan bendera Palestin di rumah kediaman, premis kedai dan kenderaan bagi menunjukkan sokongan kita bersama rakyat Palestin yang sedang berdepan dengan rejim Israel yang kejam lagi zalim.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rabi’ al-Awwal 1445 / 10 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 10/10/2023

Ulasan