Muktamar Tahunan PAS ke-69: Solidariti perjuangan Palestin




KUALA LUMPUR: PAS mengambil beberapa ketetapan pada Muktamar Tahunan ke-69 kali ini sebagai lambang kebersamaan istiqamah terhadap perjuangan pembebasan Palestin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengisian sepanjang muktamar adalah berkonsepkan ‘Solidariti PAS Terhadap Perjuangan Palestin’.

Ini, ujarnya bermula daripada penegasan di dalam Ucapan Dasar Presiden, disusuli beberapa acara bagi menzahirkan sokongan PAS terhadap usaha pembebasan Palestin, antaranya doa wehdah, kutipan derma, unjuk rasa, serta pelancaran bantuan kebajikan dan projek pembangunan di Gaza yang dikendalikan oleh PAS Relief bersama rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, jemputan kepada pimpinan parti-parti politik dan NGO antarabangsa, termasuklah daripada Palestin, Turkiye, Timur Tengah, Asia Barat dan Rantau Nusantara, yang telah pun mengesahkan kehadiran sebagai tetamu jemputan;

Tambahnya, jemputan kepada pimpinan parti komponen PERIKATAN NASIONAL, parti-parti politik dan NGO-NGO tempatan, termasuklah jemputan kepada tokoh negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah pun mengesahkan kehadiran sebagai tetamu jemputan;

Di samping itu, katanya jemputan secara umum kepada seluruh warga Malaysia yang prihatin terhadap perjuangan Palestin untuk mengikuti perjalanan muktamar sama ada mengikutinya secara langsung di atas talian ataupun hadir sebagai ‘pemerhati’ sepanjang tempoh muktamar, yang akan dijalankan secara terbuka.

“Membatalkan jemputan kepada beberapa kedutaan bagi negara-negara yang secara terbuka menyokong tindakan rejim zionis Israel dalam serangan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat mutakhir ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ketetapan itu sebagai tanda kebersamaan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-69 ini di IDCC Shah Alam, adalah manifestasi solidariti PAS terhadap perjuangan pembebasan bumi Palestin. – HARAKAHDAILY 18/10/2023

Ulasan