Tidak guna tulisan jawi ‘tidak mesra’ kerajaan Perlis


KANGAR: Kerajaan Perlis menggalakkan premis-premis perniagaan memasang papan iklan yang baharu supaya mengggunakan tulisan jawi.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, tulisan tersebut perlu diletakkan pada bahagian atas sekali, diikuti tulisan rumi dan kemudiannya bahasa ibunda masing-masing.

Bagaimanapun menurutnya penggunaan tulisan jawi masih belum diwajibkan di papan iklan.

“Saya menganggap premis yang tidak menggunakan tulisan jawi sebagai ‘tidak mesra kerajaan negeri’,” katanya selepas majlis Penyerahan Kerusi Batu kepada pihak pengurusan sekolah, masjid, surau, tahfiz dan rumah ibadat di Parlimen Arau di Dewan Residensi semalam.

Kerusi batu terbabit untuk kegunaan sekolah dan rumah ibadat di parlimen Arau.

Menteri Besar juga berharap agar semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan yang dilantik melaksanakan amanah sebaiknya.

“Saya berharap semua ahli majlis melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaiknya. Selain itu perlu kreatif bagi manfaat rakyat.

“Tahniah di atas komitmen kepada semua ahli majlis perbandaran yang berjaya melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Norazlan Yahaya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

Ulasan