Palestin: Ahli-ahli Parlimen PN isytihar sokong PMX


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima sokongan setia yang dinyatakan oleh barisan pembangkang dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) di lobi Parlimen, sebentar tadi.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim menegaskan, Ahli-ahli Parlimen PN kini menjadi penyokong setia kepada Perdana Menteri berhubung pendirian dinyatakannya dalam menyokong Palestin dan anti-Israel.

Beliau menyatakan kekesalan pihak pembangkang berikutan sikap ditunjukkan oleh pihak kerajaan yang disifatkannya ‘macam-macam’ merujuk ketidaksehaluan dan pendirian tidak jelas dalam isu Palestin-Israel.

Selain menyelar sikap kebanyakan Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang cuba berlagak menjadi Menteri, beliau juga membidas larangan Menteri Pendidikan berkaitan sambutan Minggu Solidariti Palestin.

“Janganlah memihak dalam satu prinsip nombor enam (diterbitkan). Kita jangan memihak, mana boleh! Kita kena memihak sebab kita menyokong Palestin. Kita kena ingat menyokong Palestin bukan atas dasar agama sahaja, tapi atas dasar kemanusiaan juga.

“Anak-anak kecil dibunuh tiap-tiap sepuluh minit. Tak apalah hari ni tak kena belah (negara) kita. Tapi kena ingat budak kecil yang tidak berdosa dibunuh, termasuklah wanita, orang tua-tua semuanya menjadi mangsa kepada keganasan.

“Jadi kita menentang dan atas dasar kemanusiaan, seluruh dunia pun bukan kita saja. Sampaikan kita, ada pula yang nak berbeza bahawa ini tak boleh tunjuk. Kena tunjuk, rakyat kena menunjukkan bahawa mereka menyokong Palestin,” ujarnya.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan DUN PAS Pusat itu turut mempersoalkan sikap berdiam diri seperti berbelah bagi pendirian dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen Umno terhadap perjuangan Palestin.

Sedangkan Umno kata beliau, sepatutnya menjadi juara dalam isu ini, tetapi sebaliknya terdapat dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen parti itu bertepuk menyokong larangan disuarakan pihak tertentu terhadap kempen solidariti Palestin.

“Bila mereka mempertikaikan isu anak-anak pakai pakaian ala-ala Ninja, dia nak buat lakonan macam itu, apakah nak kata itu keganasan? Keganasan tak boleh tafsirkan dalam bentuk itu. Sekarang kita nak tentang keganasan.

“Takkan nak tentang keganasan kena pi menari? Kena tunjukkan kita menentang kegagasan. Inilah cara yang kita tunjuk. Saya nak bagi tahu kalau kami (pembangkang) tak dak, tak nampaklah perjuangan menyokong rakyat Palestin itu ketara.

“Akan dilihat di dunia sekarang ni orang kata ada masalah di Malaysia. Menyokong tapi tak boleh pakai pakaian dan sebagainya. Malah kalau boleh saya pun nak pakai pakaian macam itu kalau ada lakonan-lokonan tertentu dibuat.

“Sebab apa kita menentang keganasan? Tentang keganasan bukan dengan lemah lembut macam itu. Tentang keganasan, dengan cara keberanian, kekuatan, kehebatan takbir. Ini takbir ini kita nak naikkan semangat orang kita supaya bersama-sama menentang kezaliman.

“Kita buatlah apa cara sekalipun. Masing-masing buat. Agama kami ialah takbir. Jadi kita sama-sama menyokong rakyat Palestin yang sekarang ni dibunuh dengan dahsyat dan hebat. Kita kena ingat ini ialah menentang orang-orang yang tidak berperikemanusiaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

Ulasan