Pendukung Israel - Tun Dr Mahathir



SAYA perhatikan, setiap kali parti PKR atau Datuk Seri Anwar terkait atau dituduh ada hubungan intim dengan Israel atau sekutunya, usaha untuk mengheret saya bersama akan berlaku. Konon bukan sahaja Anwar, saya juga ada hubungan dengan Israel.

Dahulu, di awal tahun 2012, apabila Anwar dipersoal kenapa dalam Wall Street Journal dia berkata dia “menyokong segala usaha untuk mempertahan keselamatan Negara Israel – I support all efforts to protect the security of the state of Israel” yang mendatangkan kemarahan orang Melayu di Malaysia, jawabnya saya juga ada hubungan dengan pemimpin Israel.

Surat-surat saya kepada tiga Perdana Menteri Israel didedah. Bahawa ketiga-tiga surat itu memberi kata dua kepada pemimpin Israel bahawa mereka hendaklah menunaikan janji untuk mengiktiraf Palestin dan henti peperangan terhadap orang Palestin pimpinan Arafat tidak disebut.

Kali ini, Anwar dan PKR terdedah ada hubungan dengan Liberal International (LI), sebuah organisasi yang kuat menyokong Israel, sekali lagi surat-surat saya kepada Perdana Menteri Israel didedah.

Saya tidak nafi saya tulis surat kepada Perdana Menteri Israel, tetapi surat itu bukan untuk sokong Israel. Surat itu, seperti disebut di atas mendesak Israel supaya tunai janji kepada Arafat.

Siapa sahaja boleh baca surat-surat saya.

Terdesak kerana didapati berbohong, Anwar dan pemimpin PKR di dalam kerajaan mengugut akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terus mengaitkan mereka dengan Israel.

Sekali lagi penyokong Anwar dan PKR mendedah surat saya.

Selain menerbit semula surat-surat lampau yang saya utus kepada pemimpin-pemimpin Israel, mereka juga keluar surat yang saya kononnya menggelar HAMAS sebagai pengganas.

Berkait isu saya menggelar HAMAS sebagai pengganas saya sudah jawab dan jelaskan beberapa tahun lalu. Ia boleh baca di sini: https://m.facebook.com/story.php/?id=100044516073020&story_fbid=10157684566578652

Saya tiada halangan sesiapa pun membaca tiga surat yang telah saya tulis kepada:

i) Yitzhak Rabin pada 21 December 1993;
ii) Benjamin Netanyahu pada 14 March 1997 dan
iii) Ehud Barak pada 8 Jun 1999.

Disertakan surat-surat ini di bawah atau boleh dibaca di sini: https://rafiziramli.com/2012/02/surat-surat-tun-mahathir-kepada-3-perdana-menteri-israel/

Kerana disebar semula, saya rasa perlu dijelaskan kenapa saya menulis surat-surat tersebut dan keadaan ketika ianya ditulis.

Pertamanya, dua dari surat tersebut adalah jawapan kepada surat dari Rabin dan Netanyahu. Cuma surat kepada Ehud Barak saya tulis atas inisiatif sendiri.

Kesemua surat-surat tersebut saya tulis ketika Yasser Arafat, Pengerusi PLO sedang berusaha menjayakan proses damai yang dia persetujui dengan pemimpin-pemimpin Israel tersebut.

Saya anggap Arafat, seorang nasionalis dan pejuang kemerdekaan Palestin, seorang sahabat yang akrab dan amat saya hormati. Apabila dia menandatangani beberapa persetujuan damai dengan Israel, dan juga di atas permintaan Arafat, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu.

Oslo Accord I, Oslo Accord II dan memorandum Sharm al-Sheikh adalah di antara perjanjian yang ditandatangani oleh Arafat dengan ketiga-tiga pemimpin Israel tersebut di antara tahun 1993 hingga 1999.

Dalam tempoh itulah saya menulis surat-surat tersebut. Seperti yang saya nyata tadi, dua darinya jawapan kepada Rabin dan Netanyahu. Mungkin mereka menulis kepada saya kerana saya rakan Arafat atau mungkin kerana Malaysia ada sedikit pengaruh untuk membantu proses damai tersebut.

Sesiapa yang meneliti surat-surat tersebut dapat lihat pendirian saya menyokong usaha damai yang dipersetujui oleh PLO. Saya juga mengatakan sebarang hubungan antara Malaysia dan Israel hanya akan berlaku jika proses damai itu berjaya.

Saya ambil peluang mengingatkan pemimpin-pemimpin Israel supaya tidak merampas sesuatu yang menjadi kepunyaan orang lain, jika pun pada satu masa dahulu ianya kepunyaan mereka.

Saya mengkritik Israel meruntuh kediaman orang Arab untuk mendiri rumah orang Israel. Banyak lagi yang saya tulis. Semua ini boleh dibaca di dalam surat-surat tersebut. Tidak ada perlu saya nafi atau cuba putar fakta.

Saya terus dengan usaha tersebut sehinggalah Arafat berhenti berusaha kerana Israel sememangnya tidak mahu kepada perdamaian.

Nota: Arafat, sebelum meninggal pada tahun 2004 dalam keadaan yang mencurigakan, telah terpenjara dalam pejabatnya di Ramallah. Rabin telah dibunuh pada tahun 1995 oleh ekstremis Israel yang menentang usaha Rabin berbaik dengan PLO.

Saya selalu ingatkan diri bahawa saya tidak penting – yang utama ialah keselamatan dan kesejahteraan orang Palestin.

Kerana itu ugutan, fitnah dan ancaman dari Israel mahupun Amerika tidak saya hirau kerana apa yang saya hadapi berbanding dengan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin saban hari terlalu kecil untuk saya perkatakan.

DR MAHATHIR MOHAMAD – HARAKAHDAILY 17/11/2023

Ulasan