Royalti Kelantan: Anwar hanya menyindir, semberono




KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak memberikan ulasan secara konsisten berhubung pemberian royalti petroleum kepada Kelantan ketika penggulungan ucapannya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, ucapan Ahli Parlimen Tambun itu tanpa menyentuh secara signifikan adalah mengecewakan sedangkan ia telah dibangkitkan dalam perbahasan di peringkat dasar.

“Melainkan hanya dalam satu perkataan sindiran sahaja, sedangkan perkara yang saya bangkitkan itu terlalu teknikal dan melibatkan perundangan. Sepatutnya diulas secara konsisten oleh Perdana Menteri.

“Sebelum daripada itu saya menerima jawapan daripada Menteri Undang-undang yang mengesahkan bahawa di antara halangan yang paling besar dalam pemberian royalti kepada Kelantan ialah apabila adanya Akta Laut Wilayah.

“(Akta tersebut) digubal pada tahun 2012, sedangkan perjanjian antara Kelantan dan PETRONAS untuk pemberian royalti sekiranya dijumpai minyak di mana-mana kawasan ataupun offshore dibuat pada tahun 1975.

“Kemudian pada awal 1990 berlaku penerokaan kepada carigali dan sebagainya dan pada awal tahun 2000 dan juga penghujung tahun 1990 ditemui minyak dan Kerajaan Pusat melalui PETRONAS telah berjaya mengaut hasil,” ujarnya.

Menurut beliau, Akta Laut tersebut telah digunakan sebagai hujah sejak sekian lama bahawa itulah penghalang kerana had laut wilayah bagi negeri Kelantan mengikut akta itu hanya 3 nautika sahaja.

Tambah beliau, selain Kelantan dinafikan hak royalti, akta berkenaan juga tidak melalui susunan yang betul dari sudut pelaksanaan, antaranya tanpa konsultasi dengan negeri-negeri sedangkan ia akan memberi kesan kepada negeri.

Maklum Ahmad Marzuk, Sidang DUN Kelantan pada tahun 2015 telah sebulat suara menolak Akta Laut Wilayah 2012 itu walaupun ianya diluluskan di peringkat Persekutuan.

“Sebab itu kita bangkit pada hari ini dan beberapa rakan-rakan dalam ucapan perbahasan sebelum ini telah pun mendesak supaya kerajaan melunaskan bayaran sebagaimana dalam perjanjian pada 1975.

“Iaitu 5 peratus hasil royalti petroleum itu mesti diberi kepada negeri-negeri pengeluaran minyak antaranya Kelantan sebagai negeri pengeluar minyak. Kita dukacita pada hari ini bila saya bangun untuk minta penjelasan Perdana Menteri.

“Dia hanya dengan nada semberono menyatakan bahawa zaman Perikatan Nasional juga tidak diluluskan royalti,” ujarnya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini sebentar tadi.

Sedangkan menurutnya, Anwar dahulu pernah menyatakan perkara tersebut akan dilaksanakannya apabila beliau menjadi Perdana Menteri, tetapi kini bukan sahaja pembayaran tidak dibuat, malah dia mengelak menjawab soalan berkaitan.

Bekas Timbalan Menteri Agama itu turut menyifatkan kesungguhan politik Perikatan Nasional akhirnya dapat memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi realiti walaupun komponen ini bukan daripada Sabah dan Sarawak.

Jelas beliau, akhirnya kerajaan akur untuk memenuhi tuntutan-tuntutan terkandung dalam MA63 secara berperingkat dan bagi Kelantan juga berharap hak yang sama akan dapat dilaksanakan. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

Ulasan