Belajar pengalaman lalu elak insiden 'bergelap' berulang

Belajar pengalaman lalu elak insiden 'bergelap' berulang
Disember 7, 2023 @ 8:02am

Insiden Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor mengalami gangguan bekalan elektrik lebih 12 jam bermula jam 8 malam kelmarin sehingga 10 pagi semalam, memang amat mengejutkan.

Gangguan bekalan elektrik itu bukan sahaja menjejaskan sistem dan urusan imigresen orang awam termasuk pelancong asing, bahkan ia turut memalukan nama negara kerana berlaku di pintu masuk utama negara di selatan tanah air.

Hal ini diluahkan sendiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan insiden itu amat memalukan kerajaan negeri. Bahkan insiden itu juga mencabar kredibiliti negara dalam aspek pengurusan sistem dan tindakan berdepan perkara luar jangka di premis kerajaan miliki tahap keselamatan tinggi.
DISYORKAN UNTUK ANDA









Apa yang berlaku ini walaupun hanya tertumpu di CIQ BSI, namun ia seolah-olah mengulangi insiden pada 3 Ogos 1996 apabila satu Malaysia terputus bekalan elektrik dikatakan berpunca akibat kerosakan grid penghantaran berdekatan Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu.

Negara sebelum ini pernah dikejutkan dengan bekalan elektrik terputus di bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai 2022. Banyak negeri dan kawasan turut terputus bekalan elektrik ketika itu di Seremban, Negeri Sembilan; Kuantan, Pahang; Sungai Petani, Kedah dan Kajang, Selangor.

Keadaan dalam CIQ yang sesak dan gelap akibat terputus bekalan elektrik. - NSTP/Ihsan Pembaca

Gangguan bekalan elektrik ketika itu turut menjejaskan perkhidmatan rel di Lembah Klang, mengganggu operasi harian pejabat, kilang dan industri, sekali gus mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Semua episod terputus bekalan elektrik ini mungkin berlaku disebabkan masalah teknikal atau penyaluran tenaga seperti di CIQ BSI apabila set jana elektrik (genset) gagal berfungsi. Namun, semua pihak terbabit sepatutnya mempunyai pelan tindakan luar jangka atau kecemasan sekiranya masalah sama berulang selepas ini.

Umum mungkin boleh bersabar atau tidak begitu terasa jika gangguan bekalan elektrik berlaku di premis kerajaan yang tidak terbabit dengan operasi harian kritikal.

Akan tetapi apabila premis yang menjadi pintu masuk penting negara berdepan masalah berkenaan, ia memang patut mengundang persoalan apakah tahap persediaan pihak berkuasa premis itu apabila mengalami gangguan bekalan elektrik?

Bermakna, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap insiden itu dan apakah langkah perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang timbul. Semua pegawai atau kontraktor bertanggungjawab juga memberi penjelasan berhubung insiden berkenaan.

Negara sudah merekodkan beberapa kes duluan atau rujukan dalam insiden terputus bekalan elektrik ini, maka berdasarkan pengalaman lalu sepatutnya kita sudah ada panduan atau mekanisme perlu dilakukan untuk mengelak insiden sama berulang kerana ia bukan saja menjejaskan kredibiliti negara bahkan mengakibatkan kerugian berganda.

Ulasan