DAP TETAP DAP : UMNO MULA TERASA BAHANG


DAP TETAP DAP : UMNO MULA TERASA BAHANG

Saya mulakan dulu tulisan saya ini dengan satu ucapan yang telah dinyatakan oleh Sharil Hamdan dalam Podcas Keluar Sekejap minggu lalu. Sharil kata, PAS dan DAP cukup tegas mempertahankan ideologi perjuangan masing-masing tentang visi kedua-dua parti tentang Malaysia. PAS dilihat meletakkan Islam dan Politik Islam sebagai pasak perjuangan yang hendak dibuat manakala DAP memperjuangkan negara Sekular, Malaysian Malaysia dan yang sewaktu dengannnya.

Itulah realiti yang kita perlu terima. PAS konsisten dengan dasarnya dan DAP juga kekal dengan perjuangannya. PAS kuat dengan dasar Islamnya dan tujuan PAS adalah untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya bilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Keduanya PAS mempertahankan Kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara (boleh rujuk dalam Perlembagaan PAS)

Bagaimana DAP? Walaupun tidak tercatit dalam Perlembagaan parti mereka tetapi kita tahu bahawa DAP dan perjuangan Malaysian Malaysia tak dapat nak dipisahkan. Lim Kit Siang (LKS) telah sekali lagi membayangkan bahawa Perdana Menteri bukan semestinya di kalangan kaum Melayu. Itu memang konsisten sejak berzaman, cuma sama ada nak sebut atau tidak, bergantung dengan keadaan semasa, bergantung dengan siapa dia sedang berkawan.

PAS dan DAP pernah berkawan dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). DAP pernah keluar dari BA sebab tak boleh menerima perjuangan PAS khususnya dalam usaha menegakkan sebuah pemerintahan Islam yang mereka lihat akan merencatkan perjuangan mereka.

PAS juga pernah dipisahkan dari perjuangan dalam gabungan PR dengan pengisytiharan oleh Lim Guan Eng bahawa PR telah terbubar. Selepas itu wujudkan Pakatan Harapan yang menggabungkan kumpulan bekas ahli PAS di dalam Parti Amanah Negara (PAN). DAP bukan tidak boleh menerima PAS tetapi hanya boleh terima mereka yang sebahagian di dalam PAS. Sebab itu DAP bersama dengan perjuangan PAN sebab orang yang DAP percaya sudah tidak mendapat sokongan daripada sebahagian besar daripada ahli PAS.

DAP melihat PAN akan membantu mereka mencapai hasrat apa yang mereka perjuangkan selama ini. PAN sanggup untuk menjadi benteng DAP kerana kepimpinan PAN mengharap sokongan pengundi bukan Melayu akan memberikan mereka peluang untuk mudah menang dalam Pilihan Raya.

UMNO bukan tidak kenal siapa DAP. Ketika bersama di dalam Muafakat Nasional (MN) PAS telah menjelaskan pengalaman perit ketika bergabung dengan DAP. UMNO bukannya tidak tahu siapa DAP tetapi kerana pemimpin UMNO lebih ‘takut’ untuk membentuk kerajaan bersama PAS maka mereka rela memilih gabungan dengan DAP untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mungkin ‘ijtihad’ pemimpin UMNO pada masa itu, lebih baik tubuh kerajaan dengan DAP walaupun mereka semenangnya tahu perjuangan DAP, matlamat perjuangan DAP. Lebih memeranjatkan, pemimpin UMNO termasuklah Presiden UMNO cukup kuat mempertahankan hujah mereka bahawa DAP sudah berubah bagi menyakinkan ahli-ahli UMNO yang berada di peringkat Bahagian-bahagian dan Cawangan-cawangan.

Sehinggakan ada di kalangan pemimpin UMNO yang sanggup menjadi ‘benteng’ mempertahankan DAP termasuklah dengan meminta ahli UMNO mesti mengundi DAP dan kenyataan ini menerima ucapan terima kasih daripada pimpinan DAP. 

Kini, UMNO sudah mula terasa bahang dek kerana terlalu yakin bahawa kononya DAP telah berubah. Kenyataan LKS bahawa Perdana Menteri boleh dilantik daripada kalangan bukan orang Melayu telah membuka mata sebahagian daripada pemimpin mereka khususnya golongan pemimpin muda UMNO.

Percayalah, apa yang DAP lakukan ketika ini adalah sebahagian kecil dari apa yang mereka ingin capai dalam perjuangan mereka. UMNO masih lagi belum terlambat untuk membuat keputusan yang lebih wajar demi masa hadapan agama, bangsa dan negara.

Sekian.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
20 Disember 2023, 1.04 pagi

Ulasan