Dunia sedang menonton, tapi tidak buat apa-apa



DR. MAHATHIR MOHAMAD
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN


PETALING JAYA: Seluruh dunia sedang menonton di televisyen, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan pembunuhan besar-besaran di Gaza, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Justeru, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan beliau sudah hilang kepercayaan terhadap tamadun apabila pembunuhan beramai-ramai dibenarkan dalam pengetahuan masyarakat dunia.

“Lelaki, wanita, lelaki dan perempuan, bayi, pesakit di hospital atau orang kurang upaya, kesemua mereka sedang dibunuh. Alasannya ialah tindakan balas terhadap Hamas kerana menye­rang Israel.

Ads by Kiosked

“Hari ini lebih 16,000 rakyat Palestin di Gaza telah terbunuh. Bandar Gaza telah dihancurkan. Rakyat tinggal di tempat terbuka kerana mereka tidak boleh tinggal walaupun di hospital dan sekolah. Mereka ini juga sedang dimusnahkan oleh Israel.

“Bagaimana kita boleh mengaku bertamadun sedangkan pembunuhan beramai-ramai boleh dilakukan dalam pengetahuan (masyarakat) dunia dan (masyarakat) dunia tidak melakukan apa-apa dalam menegakkan kebenaran mengenai hak yang dimiliki oleh manusia iaitu hak untuk hidup,” katanya dalam satu kenya­taan, semalam.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan keadaan di Semenanjung Gaza semakin buruk dan teruk setiap jam.

Wakil WHO Richard Peeperkorn menyifatkan, situasi semakin teruk dengan serangan bom terus meningkat di mera­ta tempat, termasuk di kawasan selatan. – UTUSAN

Ulasan