JK Khas kaji bidang kuasa mahkamah sivil-syariah



JK Khas kaji bidang kuasa mahkamah sivil-syariah
December 13, 2023

Senator Musoddak Ahmad

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu harmonisasi bidang kuasa Mahkamah Sivil-Syariah dibangkitkan di Dewan Negara, hari ini.

Senator Musoddak Ahmad meminta penjelasan mengenai perkara itu kepada kepada Perdana Menteri di samping ingin tahu kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal serta meminda Undang-undang Syariah Negeri.

Beliau mengajukan soalan itu pada Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, sementara soalan Ahli-ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan sebagaimana di bawah.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada Kerajaan mempunyai suatu kerangka pelan pembangunan khusus di sepanjang jajaran ECRL dan jajaran LPT3 di negeri-negeri Pantai Timur.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan perjanjian perdagangan atau kerjasama ekonomi khususnya antara Indonesia dan Malaysia di wilayah Borneo.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Kesihatan menyatakan apakah halangan-halangan yang menyebabkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tidak dapat dibentangkan pada sesi ini.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan usaha proaktif yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk meningkatkan pasaran industri perabot kayu getah tempatan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan masa pelaksanaan Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan sepertimana yang telah dijanjikan di dalam Manifesto Pakatan Harapan.

Datuk Razali bin Idris minta Menteri Sumber Manusia menyatakan faktor- faktor yang boleh mendorongkan pasaran buruh ditawarkan gaji yang tinggi serta setakat mana cerminan pasaran buruh bertambah baik walaupun dilihat penempatan pekerjaan tidak menampakkan sebarang peningkatan sekaligus menggambarkan lebih ramai pencari kerja sedang menganggur.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji isu harmonisasi bidang kuasa Mahkamah Sivil-Syariah serta kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal serta meminda Undang-undang Syariah Negeri.

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyatakan apakah jurang digital antara usahawan desa dan usahawan bandar dengan pelaksanaan program pendigitalan usahawan.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan pendirian Kerajaan untuk menambah bilangan anggota Senator mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan Perkara 45(4)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan bagaimanakah Kementerian membantu petani menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Artificial intelligence) dalam meningkatkan hasil tanaman.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Perdana Menteri menyatakan apakah persiapan yang sedang dilaksanakan Kerajaan bagi menghadapi musim tengkujuh di Kelantan khususnya dari segi persiapan logistik penyelamat, Pusat Pemindahan Sementara dan bekalan makanan yang mencukupi terutamanya di kawasan yang sukar di hubungi akibat banjir.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk mengkaji semula sistem agihan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi memastikan golongan penoreh yang mengambil upah menoreh juga mendapat manfaat IPG secara adil.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Kewangan menyatakan langkah dan usaha Kerajaan bagi menyamaratakan inisiatif subsidi bersasar daripada sudut percukaian agar tidak membebankan golongan M40 yang majoritinya adalah pembayar cukai pendapatan.

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan sejauh mana peranan Komuniti Media MADANI yang akan bertindak sebagai lidah rasmi propaganda Kerajaan dan implikasi terhadap kebebasan rakyat untuk bersuara.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Perdana Menteri menyatakan persediaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga agensi Kerajaan yang lain dalam menghadapi musim tengkujuh dan banjir tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 13/12/2023

Ulasan